PRN Sabah: Patuhi SOP, jangan takut keluar mengundi - Jeffrey Kitingan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 26, 2020 10:51 MYT
September 26, 2020 10:51 MYT
Pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat-pusat pembuangan undi dapat mengelakkan penyebaran wabak COVID-19.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, pematuhan jarak fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan peraturan kesihatan dapat membantu usaha kerajaan dalam menangani pandemik tersebut.
"Hari ini hari mengundi, walaupun kita dalam suasana COVID ini, yang mungkin memberikan kesan kepada pengundi.
"Dalam masa yang sama, saya melihat ramai yang datang awal untuk mengundi, mungkin disebabkan dua faktor. Satu, cuaca baik dan juga, SOP.
"Kita mengamalkan penjarakan sosial, pakai topeng, guna pencuci tangan dan periksa suhu. Ini sebenarnya memberi keyakinan bahawa pandemik itu dapat kita tangani melalui SOP kita," katanya.
Beliau yang ditemui selepas membuang undi di SK Pekan Tambunan pagi ini, ditemani isteri, Datin Cecilia Edwin yang membuang undi di Kg Monsok, Tambunan.
Ikuti juga perkembangan terkini PRN Sabah ke-16 di astroawani.com
Jeffrey turut menasihatkan pengundi agar keluar mengundi mengikut jadual yang ditetapkan SPR.
"Keluarlah beramai-ramai. Keluar mengundi untuk memastikan kewajipan kita dapat dilaksanakan.
"Jangan takut mengundi. Ikut jadual yang dikeluarkan bagi mengelakkan kesesakan dan kemungkinan terlalu ramai berkumpul. Datanglah mengundi, kerana itu kewajipan kita," katanya.
Seramai 3,445 pengundi berdaftar membuang undi SK Pekan Tambunan.
Bagi kerusi DUN Tambunan, terdapat seramai 16,511 pengundi berdaftar dengan 17 darinya adalah pengundi pos.
Kerusi tersebut menyaksikan pertandingan 6 penjuru antara calon dari Parti Bersatu Sabah, Parti Cinta Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu UPKO, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Perikatan Nasional yang diwakili Parti Solidariti Rakyat Star dan calon bebas.
#calon
#DUN Tambunan
#Jeffrey Kitingan
#kerajaan
#kesihatan
#pandemik
#penjarakan sosial
#PRN Sabah
#rakyat
#Sabah Memilih
#SK Pekan Tambunan
#SOP
#Suruhanjaya Pilihan Raya