Keadaan keselamatan di negeri ini pada keseluruhannya terkawal semasa proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung, tanpa sebarang insiden yang tidak ingini berlaku, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar hari ini, beliau berkata, keadaan terkawal di semua pusat mengundi.

Sebelum ini, Hazani mendedahkan mempunyai maklumat mengenai kemasukan besar-besaran warga asing untuk membuat kekacauan pada hari pengundian hari ini.

Semasa sidang media hari ini, beliau berkata, lebih 100 individu dari negara jiran yang disyaki memiliki dua kerakyatan dan dipercayai cuba balik ke Sabah untuk mengundi berjaya dihalang dan diusir keluar daripada memasuki perairan negara ini semalam.

Hazani berkata, individu berkenaan menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut negara di Sandakan.

"Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah... bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang. Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan," katanya.

Hazani berkata, tindakan untuk mengusir berkenaan juga dilakukan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.

"Sepatutnya mereka menggunakan laluan yang sah dan perlu melalui pemeriksaan kesihatan. Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan COVID-19 di Sabah," tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata, polis menerima 193 laporan berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen yang berakhir semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya. - BERNAMA

Ikuti perkembangan PRN Sabah di sini

LAPOR LANGSUNG: Hari penentuan di Sabah