PRN Sabah: Kawalan sempadan diperketat elak penularan COVID-19

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 9, 2020 16:34 MYT
Mohd Shafie berkata, keadaan masih terkawal kerana jangkitan di Lahad Datu berlaku di dalam penjara, namun langkah pencegahan tetap dijalankan dengan teliti - Gambar fail
Pihak berkuasa telah meningkatkan kawalan di sempadan Sabah bagi mengekang kemasukan warga asing terutama di pantai timur bagi memutuskan penularan wabak COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keadaan masih terkawal kerana jangkitan di Lahad Datu berlaku di dalam penjara, namun langkah pencegahan tetap dijalankan dengan teliti.
"Saya dimaklumkan dia (pesakit COVID-19) dimulai dengan dua tahanan dari Filipina yang juga bercampur dengan penduduk tempatan tahanan itu, maka mereka bercampur. Saya minta agar mereka dipantau setiap hari, tetapi dia terkawal dan tidak membimbingkan.
"Dalam pada itu saya minta untuk pertingkatkan kawalan sempadan sama ada dari negara jiran Indonesia mahupun Filipina, supaya kita pastikan jangan ada lagi peningkatan daripada segi jumlah ini," katanya selepas merasmikan Kilang Minyak Masak Onsoi di di sini, pada Rabu.
Tambah Shafie, kerajaan Sabah telah memastikan semua petugas barisan hadapan yang mengawal kluster tersebut dilengkapkan dengan peralatan kesihatan bagi mengelakkan mereka dijangkiti.
ANDA MUNGKIN MEMINATI ARTIKEL DI SINI:
* PRN SABAH
"Kita sudah aktifkan daripada segi penempatan mereka dikuarantin, dan kita juga nasihatkan tingkatkan kesiapsiagaan bukan sahaja pelitup muka, cecair pembasmi kuman, PPE (pakaian perlindungan diri) dan saya telah minta supaya edarkan kepada pihak-pihak polis dan orang-orang tahanan yang ada dan barisan hadapan.
"Jangan nanti terjangkit, tidak membimbangkan sangat tetapi dalam pada itu, jangan ambil ringan, kita perlu berjaga-jaga.
"Dalam itu, dia terkawal, cuma di kawasan itu sahaja. Cuma saya minta asingkan, kalau ada tahanan dari luar, sama ada dari Indonesia ataupun dari Filipina asingkan dengan tahanan penduduk tempatan," jelasnya lagi.
#COVID-19 #Filipina #Indonesia #Kawalan sempadan Sabah #Ketua Menteri #Kluster Benteng Lahad Datu #Lahad Datu #pati #PRN Sabah #Sabah Memilih #Shafie Apdal
;