PRN Sabah kali ini ibarat pilihan raya umum - Jaujan Sambakong

Petrus Bernard
September 5, 2020 11:00 MYT
Jaujan menyifatkan PRN Sabah kali ini ibarat pilihan raya peringkat nasional (PRU) kerana penglibatan setiap parti yang ada di negara ini. -Astro AWANI
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali disifatkan sebagai pilihan raya peringkat nasional (PRU) kerana penglibatan setiap parti yang ada di negara ini.
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong berkata keadaan itu jarang berlaku setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.
"Kita sudah lebih 60 tahun merdeka. Kali ini saya melihat pilihan raya negeri merupakan pilihan raya peringkat nasional.
"Walaupun berlaku di negeri Sabah, tetapi pilihan raya ini menggambarkan ia pilihan raya nasional kerana melibatkan parti yang memerintah negara.
"Dalam Barisan Nasional (BN), contohnya ada UMNO. Pas pun hendak bertanding, Bersatu juga hendak bertanding. Ini yang saya kata pilihan raya nasional," katanya.
Jaujan turut mengakui cabaran terpaksa ditempuh parti Warisan yang merupakan parti baharu.
"Kita baru sahaja memerintah 26 bulan namun yakin akan memenangi PRN ini berdasarkan momentum baik yang ditunjukkan oleh Pejuang dan ahli Warisan.
"Sudah tentu tidak mudah bagi parti Warisan yang baharu. Orang kata baru 26 bulan memerintah, negeri Sabah berhadapan dengan cabaran ini dan saya cukup yakin bila melihat seharian suntuk semangat orang orang kita, pejuang-pejuang semakin meningkat," tegasnya.
Jaujan turut mengingatkan rakyat Sabah supaya membuat pilihan tepat demi memastikan hak rakyat Sabah dapat dipertahankan.
Jaujan berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Bersama Pemimpin Anak Negeri di Dewan Calvari Tawau.
Pada majlis berkenaan, Jaujan turut menyaksikan kemasukan lima cawangan baharu yang melibatkan lebih 700 ahli daripada beberapa ahli parti lawan yang menzahirkan sokongan kepada Warisan.
#Barisan Nasional #Dewan Calvari Tawau #jaujan sambakong #Merdeka #PAS #pilihan raya umum #rakyat #Tawau #UMNO
;