PRN Sabah: Jumlah penerbangan ditambah
Radhi Muslim
September 19, 2020 15:27 MYT
September 19, 2020 15:27 MYT
Jumlah penerbangan ke Sabah akan ditambah khususnya menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ketika ini jumlah penerbangan ke Sabah sudah bertambah dan jumlah itu akan ditingkatkan menjelang hari pengundian kelak.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan, rakyat Sabah yang berada di luar negeri agar membeli tiket lebih awal.
Jelasnya, buat masa ini harga tiket penerbangan sudah berada pada paras yang rendah dan belum ada keperluan untuk menurunkan lagi tambang sempena pengundian PRN Sabah.
Ini kerana, kata beliau, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harga tiket pesawat sudahpun diturunkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.
“Kalau mereka tempah lebih awal sudah pasti harganya adalah lebih rendah, kalau kita tempah menjelang ataupun sehari sebelum plihan raya itu memang mahal.
“Di mana sahaja tak kira pilihan raya atau tidak (ada) kaedah untuk mereka menetapkan harga… jadi nasihat saya oleh kerana ada penerbangan balik Sandakan atau Kota Kinabalu sekarang telah ditambah jadi saya rasa dari segi keperluan tu bergantung kepada pasaran.
“Jadi tak ada sekatan kita hanya had kan berapa orang balik ataupun kita kenakan tambang yang tinggi orang tidak mampu,” katanya.
Beliau berkata demkian dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra bersama pemandu Grab di Sandakan, pada Jumaat, malam.
Terdahulu, ramai pihak mendesak agar kerajaan menurunkan harga tambang penerbangan menjelang hari pengundian PRN Sabah minggu hadapan.
#harga tiket
#jumlah penerbangan
#Menteri Pengangkutan
#PRN Sabah
#Sabah Memilih
#Sandakan
#Wee Ka Siong