PRN Sabah : Jalan daif, derita penduduk Sungai Magandai perlu diatasi segera

Assim Hassan
September 5, 2020 11:26 MYT
Semua ini adalah situasi yang dialami penduduk Kampung Sungai Magandai di Kota Marudu.
Menyelusuri bukit bukau, hutan belantara, merentasi anak sungai dan jalan batu kelikir serta tanah merah berlumpur.
Semua ini adalah situasi yang dialami penduduk Kampung Sungai Magandai di Kota Marudu.
Terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, aspek infrastruktur di kawasan itu masih lagi daif dan memerlukan perhatian.
Lebih menyedihkan apabila penduduk kampung yang merupakan warganegara Malaysia dan Sabah yang sudah 63 tahun merdeka terpaksa melalui situasi itu sehingga kini.
Bagi Nurziatiey Solboy, kesan jajaran jalan raya yang daif itu menyukarkan penduduk ketika kecemasan seperti sakit.
Akuinya, walaupun ada bantuan helikopter kecemasan ia tidak mudah seperti yang dikatakan ekoran kekangan jaringan telekomunikasi dan internet di kampung tersebut.
"Perihal jalan raya adalah isu utama di kampung ini terutama melibatkan hal-hal kecemasan. Walaupun ada bantuan helikopter tetapi kadang-kala ia tidak boleh membantu ekoran tidak mendapat mesej akibat ketiadaan jaringan telekomunikasi.
"Sungguh sukar kami di sini. Jalan raya rosak dan tanah mereka selain jaringan internet juga tidak memuaskan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kampung itu.
Selaku anak muda berusia 25 tahun, Nurziatiey yang mesra dipanggil Yong turut menceritakan kesukaran beberapa rakan seusianya terpaksa belajar dan bekerja di luar ekoran masalah itu.
Katanya, mereka juga sukar untuk pulang memandangkan keadaan infrastruktur yang tidak sempurna.
"Justeru, saya merayu dari hati yang besar ini, satu-satunya yang kami harapkan adalah untuk mendapat jalan raya yang bagus dan selesa.
"Hal ini akan memudahkan urusan penduduk keluar dan masuk ke kampung ini. Tanpa jalan raya yang baik, semua urusan dan pekerjaan yang ingin dilakukan penduduk akan tergendala," katanya.
Seorang lagi penduduk, Malakal Andang, 33 tahun turut berkongsi pengalaman pernah terkandas tidur di tengah hutan akibat jalan tanah merah tidak dapat dilalui menggunakan motosikal.
"Pagi tadi saya dari pekan Kota Marudu pukul 8 pagi dan tiba di kampung pada jam 11.48 pagi. Untuk ke kampung kami sahaja ambil masa lebih tiga jam.
"Nasib baik cuaca baik dia halangan. Jika cuaca tidak mengizinkan, ada ketikanya saya terpaksa menolak motosikal yang terkandas di lumpur tanah merah atau bermalam di hujan," katanya.
Sementara itu, permasalahan infrastruktur itu turut diajukan kepada Ketua Kampung Sungai Magandai, Jabal Singkamung yang mendakwa projek pembinaan jalan raya ini sudah diumumkan beberapa tahun lalu melibatkan 57 kilometer dengan anggaran kos RM130 juta.
"Lama sudah kami tunggu ini projek dilaksanakan kerana ini merupakan rayuan penduduk di sini. Paling mendesak sekarang ialah lapan kilometer menuju ke Sekolah Kebangsaan Magandai yang sangat teruk.
"Pihak berwajib perlu cari inisiatif untuk membina jalan raya ini secepat mungkin kerana jajaran jalan ini adalah sumber kehidupan dan pembangunan yang kami harapkan," katanya.
#DUN Tandek #Infrastruktur #Jalan daif #Kota Marudu #Nurziatiey Solboy #PRN Sabah #Sabah Memilih #Sungai Magandai
;