PRN Sabah: Dulu tidur di 'hotel bergerak', kini penghantar barangan miliki 14 lori dan 18 pekerja

Hasimi Muhamad
September 20, 2020 13:18 MYT
Sebahagian daripada kakitangan Michele Lo Vun Leong yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikatnya. - Gambar Astro AWANI
Dua puluh tahun lalu, masa dan kehidupan Michele Lo Vun Leong sepenuhnya dihabiskan di atas jalan raya, selain menjadikan lori sebagai ‘hotel bergerak’.
Pengalaman sebagai penghantar barangan digunakan sebaik mungkin oleh bapa kepada empat cahaya mata itu untuk memulakan perniagaan sendiri.
Bermula dengan sebuah lori usang pada tahun 2016, Michele yang berusia 45 tahun kemudian nekad membuka syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran barangan asas di sekitar Kota Kinabalu.
Namun, langit tidak selalu cerah apabila selepas empat tahun syarikatnya beroperasi, pandemik COVID-19 yang melanda dunia membuatkan syarikatnya hampir muflis.
“Bila bulan Mac masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, semua pergerakan tidak boleh bergerak (terhad pergerakan).
“Paling saya risau adalah gaji pekerja, tak akan masa PKP kita mahu berhentikan mereka (pekerja), dan gaji tidak dibayar?
“Jualan juga ketika itu kurang sebab jurujual tidal boleh membuat ‘sales’. Tidak apa, bertahan dulu, kalau ada barang (penghantaran makanan) pun tidak banyak...,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Ahad.
Jelas Michele, dia terpaksa menanggung sekitar RM30,000 setiap bulan termasuk membayar gaji pekerja sepanjang tempoh PKP.
Paling dibimbanginya adalah adalah nasib 18 pekerjanya yang terpaksa menanggung keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, cahaya muncul di hujung terowong selepas kerajaan mengumumkan bantuan PRIHATIN bagi meringankan beban usahawan yang terjejas akibat COVID-19.
“Nasib baik adan bantuan PRIHATIN, jadi dapat tampung (kos) pada bulan seterusnya.
“Sampai sekarang operasi sudah hampir 100 peratus, dan bantuan PRIHATIN betul-betul membantu masa sukar. Bulan ketiga (PKP), kalau tidak (tiada bantuan) tiba-tiba perniagaan ditutup, saya fikir kesian pekerja saya,” ujarnya sambil menzahirkan kesyukuran selepas perniagaan kini kembali pulih.
Dalam masa yang sama, Michele yang menerima bantuan BSN Micro/i Kredit sebanyak RM60,000 berhasrat untuk menambah tiga lagi pekerja dalam tempoh terdekat.
Setakat ini, Michele memiliki sebanyak 14 lori dan menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan di sekitaran Tuaran, Tamparuli, Penampang serta Inanam.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli berada di bawah Parlimen Tuaran.
Selain Tamparuli, dua lagi DUN di bawah Parlimen tersebut adalah Sulaman dan Kiulu.
#cerita rakyat sabah #kerajaan #Kota Kinabalu #operasi #pandemik #Parlimen #Penampang #perintah kawalan pergerakan #PKP #PRN Sabah #Sabah Memilih #usahawan
;