PRN Sabah: Calon LDP Bongawan tawar peluang pekerjaan kepada belia

Assim Hassan
September 23, 2020 11:50 MYT
Mohd Azree (tiga dari kanan) bertemu dengan para pengundi Cina ketika mengadakan program turun pada baru-baru ini. - Astro AWANI
Golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan perlu menikmati pembangunan dan manfaat daripada sektor minyak dan gas di kawasan tersebut, dan diberi peluang untuk menceburi bidang berkenaan.
Selain itu, calon Parti Liberal Demokratik (LDP) DUN Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani berkata, isu ketidakmampuan pembelian rumah dalam kalangan belia juga perlu diselesaikan segera.
Ini kerana katanya, kebanyakan belia di kawasan tersebut menzahirkan keluhan kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri berikutan harga yang mahal.
“Lagi satu aspirasi belia yang mereka katakan kepada saya adalah mereka perlu rumah sendiri. Insya-Allah jika kita diberi peluang mentadbir kerajaan negeri Sabah, kita akan menyediakan satu perkampungan belia… perkampungan belia berumur 45 tahun ke bawah.
"Kota Kinabalu, sebuah unit pangsapuri hampir mencecah RM600,000, walhal kita sebagai belia tidak mampu membeli rumah yang harga sedemikian.
“(Selain itu), kita juga akan menyediakan dan memberikan sebidang tanah atau lot tanah kepada mana-mana belia yang layak di N.30 Bongawan,” katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Mengulas lanjut, anak jati Bongawan berusia 29 tahun itu berkata, golongan belia harus diberi latihan untuk menceburi bidang usahawan dan sektor pertanian dilihat mempunyai potensi besar di Sabah.
Katanya, rancangan yang efektif dan sistematik mampu membantu golongan belia untuk berdikari, dan tidak bergantung harap kepada bantuan kerajaan semata-mata.
“Tetapi masalah di Bongawan yang sangat dashyat adalah jaringan internet dan telefon yang sangat kurang memuaskan.
“Untuk kita terlibat dalam bidang keusahawanan internet (e-dagang), kita perlu mengiktiraf dengan dan menaiktaraf sistem komunikasi di Bongawan.
“Selain itu, tanah luas di Bongawan, kita boleh (melahirkan) usahawan pertanian, berikan peluang kepada golongan belia dan muda menceburi bidang pertanian,” katanya.
PRN kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Ag Syairin dengan calon Parti Cinta Sabah (PCS) yang juga presidennya dan bekas Ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal, Datuk Seri Anifah Aman; calon LDP, Mohd Azree serta calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Daud Yusof.
Sebanyak 61.06 peratus pengundi berdaftar di DUN Bongawan terdiri daripada pengundi berusia antara 21 hingga 49 tahun.
#Anifah Aman #Barisan Nasional #Bongawan #golongan belia #Kota Kinabalu #Mohd Azree Abd Ghani #Parlimen #Parti Liberal Demokratik #peluang pekerjaan #Pilihan Raya Negeri Sabah #PRN Sabah #Sabah Memilih
;