PRN Sabah: Bilis kampung Limau-Limauan 'laku keras' hingga ke Sarawak, Brunei

Assim Hassan
September 17, 2020 16:32 MYT
Zainuddin meninjau bilis yang dijemur di hadapan rumahnya di Kampung Limau-Limauan, Kudat. - Astro AWANI
Komuniti Maritim di Kampung Limau-Limauan cukup terkenal dengan produk ikan bilis hingga mendapat permintaan dari Sarawak dan Brunei Darussalam.
Cukup terkenal dengan pelbagai gred dan yang paling utama ialah ikan bilis mata biru.
Bagi Zainuddin Hori, 44, dia merupakan individu yang memulakan perusahaan bilis di kampung tersebut pada tahun 2011.
"Saya merupakan orang yang memulakan pembuatan bagang atau perusahaan bilis di Kampung Limau-Limauan ini. Kita melihat kepada potensi bilis di kampung ini adalah yang terbaik.
"Melihat kepada permintaan bukan hanya dari Sabah tetapi juga Sarawak dan Brunei, saya kemudiannya mengajak penduduk kampung lain untuk mengusahakan bersama-sama perusahaan bilis. Setakat ini ada 13 pengusaha bilis di kampung ini," katanya kepada Astro AWANI.
Menceritakan lebih lanjut, Zainuddin berkata, ikan bilis di kampung itu berbeza rasa dan grednya dengan bilis di kawasan lain.
Malah, untuk sekali pengusaha bilis di kampung itu mampu dikumpul 10 hingga 15 tan sebelum dijual secara pukul kepada pemborong.
Selain dibantu suri rumah dan kaum wanita, Zainuddin dan pengusaha lain kadang kala terpaksa mengupah penduduk dari kampung berhampiran untuk membantu membungkus bilis.
"Semakin lama kami melihat perusahaan ini memberi pendapatan bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga suri rumah. Kami turut ke laut, mereka pula yang akan menjemur dan membungkus bilis," katanya.
Namun di sebalik semua itu, perusahaan ikan bilis nelayan kampung itu dihimpit masalah kelulusan tapak dari kerajaan negeri.
Malah, tempat memukat bilis juga dihadkan walaupun ia merupakan sumber pendapatan para penduduk kampung.
"Saya mewakili pengusaha lain juga berharap kerajaan dapat menggazetkan lokasi memukat bilis di kampung itu memandangkan ia merupakan sumber rezeki penduduk kampung," katanya.
#cerita rakyat sabah #ikan bilis #Kampung Limau Limauan #Kudat #nelayan #Perusahaan Bilis #PRN Sabah #Sabah Memilih #Zainuddin Hori
;