PRN Sabah: Anak muda Sabah seperti Veveonah adalah 'kingmaker'

Firdaus Azil
September 8, 2020 14:11 MYT
Pengundi antara 21 hingga 40 tahun paling agresif, sukar dijangkakan, mudah bertukar pendirian, beremosi serta berani mengambil risiko.
Kumpulan pengundi muda akan menjadi golongan penentu, atau ‘king maker’ dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, yang bakal membuka tirainya dengan hari penamaan calon pada 12 September ini.
Menurut kajian Society Empowerment & Economic Development Sabah (Seeds), pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun merangkumi 17.75 peratus daripada keseluruhan pengundi Sabah, manakala antara 31 hingga 40 tahun sebanyak 25.99 peratus.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi Sabah yang layak memilih kali ini ialah sekitar 1.124 juta orang.
Dalam kajian itu, Seeds berpendapat, pengundi dalam golongan antara 21 hingga 40 tahun adalah paling agresif, sukar dijangkakan, mudah bertukar pendirian, dan sering kali dipengaruhi emosi serta berani mengambil risiko.
“Untuk mempengaruhi mereka, memerlukan banyak pragmatism, kesabaran, serta dialog yang inovatif,” menurut kajian yang bertajuk ‘Seeds Sabah Electoral Project 2020’ itu lagi.
Seeds berkata, kumpulan pengundi ini juga dilihat sebagai mempunyai gaya pandangan tersendiri terhadap sesuatu isu, dan mempunyai kelebihan mengakses maklumat dengan cepat melalui media sosial dan alam digital.
Jelas badan pemikir itu lagi, golongan ini tidak mempunyai kesetiaan yang tetap kepada mana-mana parti politik.
Seeds berkata, kecenderungan pengundi muda untuk memilih, boleh berubah daripada kredibiliti calon, kepada faktor parti, dalam masa sehari atau pun dalam masa sejam, jika motivasi itu cukup kuat.
“Kadar sebaran pengundi muda adalah lebih kurang sama untuk kesemua kawasan di seluruh Sabah, tetapi sedikit tinggi di kawasan timur selatan Sabah. Ini bermaksud kawasan pendalaman lebih ramai pengundi muda berbanding kawasan bandar.
“Dan ini juga memberi indikasi bahawa strategi kempen secara tradisional mungkin tidak akan memberikan kesan maksimum seperti sebelumnya,” kata badan pemikir itu lagi.
Dalam kajian itu, Seeds berkata, dapatan diperoleh daripada sejumlah 2,350 responden yang mempunyai latar belakang pelbagai, di 25 kawasan parlimen Sabah.
Ia berkata, kadar keyakinan terhadap kajian itu adalah sebanyak 95 peratus, manakala margin kesilapan adalah sekitar 2.5 peratus.
Pada 3 September lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa kisah diceritakan Veveonah Mosibin dalam YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri, sebelum memohon maaf menerusi status di akaun Facebook rasminya beberapa jam kemudian.
BACA: Timbalan menteri minta maaf dakwa Veveonah palsukan kisah duduki peperiksaan atas pokok
Walaupun permohonan maaf telah dibuat, ia nyata menimbulkan kemarahan orang ramai ekoran fakta menunjukkan bahawa Veveonah memang mengambil peperiksaan pada tarikh yang dinyatakan.
Veveonah, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam kenyataan susulan mengatakan beliau amat sedih dengan kenyataan Ahli Parlimen Padang Besar itu, memandangkan dirinya bekerja keras untuk menduduki peperiksaan itu.
BACA: "Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa" - Veveonah
Semalam, Zahidi mendakwa maklumat itu diperoleh daripada Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri.
Beliau mendakwa telah dimaklumkan oleh Abdul Rahim bahawa pada hari video itu dimuatnaik ke laman Youtube, tiada peperiksaan yang dijalankan di UMS, sekali gus mendakwa Veveonah tidak bercakap perkara yang benar.
Bagaimanapun, kenyataan itu sekali lagi dikritik masyarakat yang mengatakan tidak semestinya Veveonah memuatnaik video itu pada hari yang sama peperiksaan itu dijalankan.
#Abdul Rahim Bakri #Dr Arnold Puyok #Malaysia #media sosial #pengundi muda #peperiksaan #pilihan raya #politik #PRN Sabah #Sabah Memilih #SEEDS #Society Empowerment & Economic Development Sabah #Zahidi Zainul Abidin
;