PRN: Polis terima dua laporan letak, lempar kepala babi

Bernama
Ogos 9, 2023 15:37 MYT
Polis berkata kejadian pertama berlaku di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh kira-kira 7.45 pagi. - Gambar hiasan/PDRM
SEREMBAN: Polis menerima dua laporan berkaitan perbuatan khianat pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), susulan kejadian meletakkan dan melemparkan kepala babi di dua lokasi di Kuala Pilah dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata kejadian pertama berlaku di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh kira-kira 7.45 pagi.
"Laporan kedua yang diterima pula berlaku di hadapan rumah Ketua Penerangan Bahagian Kuala Pilah, yang juga pengurus kempen DUN Senaling daripada PN di Kampung Sawah Lebar Seberang," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan / 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Amran menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan, kerana akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dikhuatiri boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau hadir ke balai polis yang berhampiran," katanya.
Terdahulu, media melaporkan jentera pilihan raya parti itu dikejutkan dengan penemuan kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu, di hadapan bilik gerakan dan kediaman seorang pegawai pagi tadi.
-- BERNAMA
#PRN #perbuatan khianat #kepala babi #Kuala Pilah