PRN: PM Anwar gesa pengundi keluar awal tunai tanggungjawab
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 12, 2023 11:31 MYT
Ogos 12, 2023 11:31 MYT
PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di enam negeri supaya keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Dalam masa sama, Perdana Menteri mengharapkan suasana hari pengundian hari ini berlangsung dalam keadaan baik dan aman.
Sejurus menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, di sini, Anwar berkata, pemantauan yang dilakukannya mendapati suasana pengundian di keenam-enam negeri berada dalam keadaan baik dan tenang.
"Daripada pemantauan kita setakat ini, suasana di keenam-enam negeri berada dalam keadaan baik dan tenang, Alhamdulillah.
"Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Musim kempen untuk PRN ini sudah selesai, jadi kembalilah bersilaturrahim.
"Saya berharap proses pengundian berlangsung dengan aman dan berharap pengundi dapat keluar awal dan jangan tangguh untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi," kata Perdana Menteri lagi.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan PRN ini tidak akan membawa sebarang perubahan kepada Kerajaan Persekutuan.
"Ini pilihan raya negeri, sementara itu Kerajaan Persekutuan akan menjalankan tugas seperti biasa mulai esok akan meneruskan kerja kita," katanya.
Terdahulu Anwar yang diiringi isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir ke pusat pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti pada jam 9.32 pagi untuk membuang undi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir menyaksikan pertembungan satu lawan satu Muhammad Faiz Fadzil mewakili Pakatan Harapan menentang Amir Hamzah dari Perikatan Nasional.
Pada PRN 14, Muhammad Faiz memperolehi 9,708 undian menewaskan Muhammad Fauzi Yusoff, dari Pas yang mendapat 6,727 undi, manakala Anuar Faisal Yahya dari Barisan Nasional mendapat 4,979 undi.