PRN: Pertindihan kerusi BN-PH dibincang secara konstruktif - Asyraf Wajdi

Hasimi Muhamad
Mei 5, 2023 16:05 MYT
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertindihan kerusi berkenaan juga bukan sesuatu yang 'luar biasa' memandangkan sebelum ini BN menentang PH pada pilihan raya - Foto fail
KUALA LUMPUR: Pertindihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sedang dibincangkan secara positif dan konstruktif.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertindihan kerusi berkenaan juga bukan sesuatu yang 'luar biasa' memandangkan sebelum ini BN menentang PH pada pilihan raya.
"Pembahagian kerusi sedang berjalan dan amat positif. Kita menjangkakan dalam masa terdekat kita boleh membuat kesimpulan dan saya nampak setakat hari ini kerjasama khususnya enam PRN antara BN dan PH, amat baik sekali," katanya dalam sidang media dan taklimat mengenai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan kerjasama di peringkat kepimpinan parti dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi, dengan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia menjadi titik permulaan ke arah tersebut.
"Semua PRN ada pertindihan sebab sebelum ini BN bertanding lawan PH dan sebaliknya.
"Cuma saya nyatakan perbincangan dan perundingan sedang berjalan dan baru tadi saya menerima semua laporan dan boleh katakan amat positif dan konstruktif sekali," tambah beliau.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pembahagian kerusi di antara BN dan PH hanya akan dimuktamadkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dibubarkan.
Jelas beliau, keutamaan ketika ini perlulah diberikan mengenai gerak kerja untuk menghadapi PRN di enam negeri, dengan fokus memastikan gabungan kerjasama antara blok PH dan BN dapat memenangi PRN kelak.
#Kerajaan Perpaduan #Pembahagian kerusi BN #pilihan raya negeri #Asyraf Wajdi Dusuki
;