PRN: Penyedia platform media sosial beri kerjasama bantu padam kandungan sentuh 3R

Bernama
Ogos 10, 2023 04:30 MYT
Teo berkata pemantauan sentiasa dilakukan pihak kementerian bersama MCMC dan PDRM bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin. - Gambar fail/Bernama
KULAI: Penyedia platform perkhidmatan media sosial memberikan kerjasama baik dalam membantu memadam kandungan yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, perkara itu berdasarkan laporan yang diterima daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dipertanggungjawabkan untuk menyekat kandungan seumpama itu khususnya daripada parti politik ketika musim pilihan raya ini.
Beliau berkata, pemantauan sentiasa dilakukan pihak kementerian bersama MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin.
"Kita memang ada terima aduan (kandungan berunsur 3R) daripada MCMC ketika PRN ini, dan MCMC telah meminta bantuan daripada penyedia platform seperti TikTok dan Meta untuk memadam kandungan seumpama itu.
"Berdasarkan laporan daripada MCMC, syarikat penyedia platform media sosial memberikan kerjasama sepenuhnya dan kita menghargainya. Tetapi, ada juga yang tidak begitu responsif dan kita akan berbincang lebih lanjut dengan mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada enam pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Ibrahim, di sini, pada Khamis.
Beliau diminta mengulas mengenai kerjasama penyedia platform media sosial dalam menyekat kandungan 3R sepanjang PRN berlangsung.
Teo turut menasihatkan calon-calon parti politik agar tidak menggunakan isu 3R sebagai senjata untuk berkempen pada saat-saat akhir, sekali gus menyeru pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
"Tinggal dua hari sahaja lagi untuk berkempen, jadi saya ingin menyeru kepada semua calon untuk menggunakan masa emas ini bagi menjelaskan apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat dan jangan guna isu 3R sebagai senjata untuk berkempen," katanya.
Sabtu ini merupakan hari mengundi PRN di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.
Terdahulu Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, pihaknya memberikan bantuan wang tunai sebanyak RM46,000 kepada enam pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Ibrahim, Kulai, dua hari lepas.
Teo berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban penerima dan beliau juga akan membantu pemilik rumah untuk mendapatkan sumbangan membaik pulih rumah daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam masa terdekat. - BERNAMA
#Teo Nie Ching #platform media sosial #KPKT #musim pilihan raya
;