PRN: Pengundi positif COVID-19 mula terima panduan keluar mengundi di MySejahtera

Bernama
Ogos 10, 2023 15:14 MYT
Hari pengundian bagi pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu ditetapkan pada Sabtu ini, 12 Ogos. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Individu positif COVID-19 yang layak mengundi akan menerima mesej di aplikasi MySejahtera bermula hari ini hingga Sabtu yang menyediakan panduan untuk mereka menjalankan kewajipan sebagai pengundi pada pilihan raya enam negeri Sabtu ini di samping mengurangkan risiko penularan jangkitan.
Ia adalah panduan pengurusan pengundi positif COVID-19 yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu individu positif COVID-19 yang dalam tempoh isolasi keluar mengundi.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata mesej yang diterima pengundi itu akan memaklumkan mengenai keperluan mereka menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau petugas kesihatan berdekatan pusat mengundi sebelum ke pusat mengundi.
"Tujuan pemakluman adalah untuk memastikan petugas kesihatan di daerah terlibat bersiap sedia dalam pengurusan pesakit COVID-19 di pusat mengundi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari pengundian bagi pilihan raya negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu ditetapkan pada Sabtu ini, 12 Ogos.
Dr Muhammad Radzi berkata pengundi positif COVID-19 juga hendaklah hadir di pusat mengundi dua jam sebelum tamat tempoh mengundi di pusat mengundi bertujuan untuk meminimumkan risiko percampuran dengan pengundi lain.
Pengundi COVID-19 positif juga diingatkan supaya tidak menggunakan kenderaan awam dan dikehendaki memakai pelitup muka sepanjang masa di pusat mengundi melainkan semasa pengenalan diri yang memerlukan pelitup muka dibuka ketika di tempat mengundi.
"Pengundi COVID-19 positif juga dinasihatkan agar menjaga penjarakan fizikal yang selamat sepanjang masa terutamanya apabila berhadapan dengan petugas ketika pelitup muka dibuka," katanya.
Setelah selesai mengundi, Dr Muhammad Radzi berkata pengundi COVID-19 positif hendaklah segera meninggalkan kawasan mengundi dan meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO).
"Bagi mereka yang sedang menerima rawatan di hospital dibenarkan discaj dari hospital atas risiko sendiri bagi mengundi dengan syarat mematuhi prosedur yang ditetapkan.
"Namun, pihak hospital tidak akan menyediakan kemudahan pengangkutan dan pesakit hendaklah menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pusat mengundi," katanya.
Pesakit COVID-19 positif perlu meneruskan pengasingan diri sehingga tamat tempoh HSO di tempat kediaman atau tempat pengasingan yang ditetapkan sebaik sahaja selesai mengundi.
Beliau menasihatkan pengundi lain agar sentiasa mengamalkan penjarakan dan mencuci tangan dengan pensanitasi.
"(Pengundi) digalakkan memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak serta segera mendapatkan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi," katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata KKM sentiasa memantau situasi COVID-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optima.
-- BERNAMA
#PRN #pengundi sakit #positif COVID-19 #MySejahtera
;