PRN: Pasangan warga emas berkerusi roda tunaikan hadir mengundi

Bernama
Ogos 12, 2023 17:21 MYT
Mat Nordin Mat Aroff, 75, dan isteri, Noriah Saad, 69, tidak mahu terlepas peluang memilih sendiri wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN). - Gambar/ Bernama
KEPALA BATAS: Sakit berkaitan saraf yang menyukarkan pergerakan sepasang suami isteri warga emas di sini tidak menghalang mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Meskipun terpaksa bertongkat dan berkerusi roda, Mat Nordin Mat Aroff, 75, dan isteri, Noriah Saad, 69, tidak mahu terlepas peluang memilih sendiri wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Pagi tadi ada jentera dari satu parti politik yang membawa kami berdua ke sini untuk mengundi dan bila sampai di sini, petugas di sini menolak kami di atas kerusi roda yang disediakan.
"Kami berdua lama dah sakit dan jentera (parti ) ini juga yang membantu untuk bawa kami mengundi pada pilihan raya umum tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di SJK (C) Pei Yu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam di sini hari ini.
Katanya proses pengundian hari ini sangat teratur dengan persiapan lengkap di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menyediakan kerusi roda di pagar sekolah bagi kegunaan pengundi-pengundi yang memerlukan.
Mat Nordin berkata beliau sendiri selesai mengundi dalam tempoh 10 minit.
Terdahulu, calon kerusi DUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-UMNO) diiringi isteri Datin Seri Ismalina Ismail, anak perempuan Reena Awliyatul Imani dan menantu Ahmad Zaki Nor Azlan turut mengundi di pusat mengundi yang sama pada 9.50 pagi.
Beliau berharap cuaca yang baik akan mendorong lebih ramai pengundi keluar mengundi sekaligus meningkatkan peratusan keluar mengundi kali ini.
Reezal Merican yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berdepan persaingan satu lawan satu menentang penyandang kerusi DUN Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (PN-Bersatu).
-- BERNAMA
#PRN #warga emas #mengundi #kerusi roda
;