PRN: Parti politik dinasihat mohon permit ceramah awal - Ketua Polis Negara
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 3, 2023 00:04 MYT
Julai 3, 2023 00:04 MYT
GEORGE TOWN: Semua parti politik dinasihatkan untuk memohon permit bagi mengadakan ceramah dan kempen lebih awal pada pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri nanti.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan permit boleh dilakukan sebaik sahaja pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan.
Jelasnya, permohonan lebih awal itu bagi memastikan tidak berlaku pertembungan di antara parti politik semasa mereka berceramah kelak.
"Permit perlu dipohon untuk perhimpunan dan ceramah awam dan pohon awal kalau boleh, walaupun kita melayan dalam masa 24 jam ,tetapi yang sebaiknya pohon lah (awal)," katanya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, seramai 40,000 anggota dan pegawai polis akan bertugas di enam buah negeri sepanjang PRN yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, anggota dari Bukit Aman dan negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN akan membantu kontinjen yang terlibat dengan enam PRN tersebut.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang akan menerima bantuan seramai 663 anggota iaitu dari Bukit Aman serta anggota dari negeri yang tidak terlibat dengan PRN.
Razarudin berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat persiapan PRN polis kontinjen Pulau Pinang di IPK negeri, di George Town pada malam Isnin.
Turut hadir Ketua Polis negeri, Datuk Khaw Kok Chin.
Sementara itu, Razarudin berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan taklimat persediaan PRN yang diberikan di peringkat kontinjen Pulau Pinang.