PRN: Merdeka Center ramal keputusan 3-3

Faida Rahim
Ogos 11, 2023 23:30 MYT
Tinjauan Merdeka Center memaklumkan PN akan menawan lebih banyak kawasan Melayu di Kedah termasuk kerusi BN di Kelantan dan Terengganu. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kaji selidik Merdeka Center mendapati keputusan status quo untuk enam pilihan raya negeri yang akan berlangsung esok dengan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kekal dalam genggaman Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di tangan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, tinjauan Merdeka Center mendapati PN akan menawan lebih banyak kawasan Melayu di Kedah termasuk kerusi BN di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati PN berkemungkinan memperoleh sedikit kemenangan di beberapa kerusi di Negeri Sembilan namun tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan negeri PH-BN.
Sebanyak 70 hingga 90 peratus kerusi di kawasan Melayu di Selangor dan Pulau Pinang juga sukar dijangka tetapi kedua-dua negeri itu kekal milik PH-BN.
Tinjauan juga menunjukkan, PH-BN dan PN khususnya di Pulau Pinang dan Selangor serta kawasan etnik campuran Kedah masih perlu menarik pengundi atas pagar.
Selain itu, pengundi Melayu Muda dalam tinjauan ini juga terus menunjukkan sokongan kuat terhadap PN seperti yang berlaku pada PRU November 2022.
Pengundi bukan Melayu diramal tetap berpihak kepada PH tetapi kadar keluar mengundi terus menjadi kebimbangan.
Kajian Merdeka Center ini dilakukan bermula 3 Julai hingga 11 Ogos melibatkan 6,179 responden.
#PRN #Barisan Nasional #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan
;