PRN Melaka: Sultan Johor nafi minta rakyat tolak BN

Astro Awani
November 15, 2021 14:05 MYT
Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sebegitu. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menafikan kenyataan kononnya baginda meminta rakyat Melaka menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sebegitu.
"Ini adalah satu kenyataan palsu yang terus disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial.
"Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini," titah baginda.
Sumber Facebook officialsultanibrahim
Mengulas lanjut, baginda bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office.
Dalam perkongsian yang tular di media sosial, baginda dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah.
#Barisan Nasional #PRN Melaka #Sultan Johor #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
;