PRN Melaka: SPR keluarkan 7,601 kertas undi pos

Afiezy Azaman
November 10, 2021 12:11 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 7,601 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 9 November.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan 7,601 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 9 November.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, daripada jumlah itu, 6,871 adalah undi petugas Pilihan Raya, anggota polis dan tentera serta petugas media.
"Selain itu, seramai 511 undi pos bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara, 113 kategori agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan serta 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.
"SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 20 November 2021 (Sabtu)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
"SPR mengeluarkan kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU DUN Melaka Ke-15.
"Pengeluaran kertas undi pos pada 9 November 2021 (Selasa) dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di semua 28 kawasan DUN," jelasnya.
#Suruhanjaya Pilihan Raya #undi pos #PRN Melaka
;