PRN Melaka: SPR bentang SOP pilihan raya esok, KKM akan beri ulasan kemudian - Khairy

Firdaus Azil
Oktober 21, 2021 20:06 MYT
Khairy Jamaluddin (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis. Turut hadir Dr Noor Hisham Abdullah. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, selepas SOP itu selesai dibentangkan, Kementerian Kesihatan (KKM) pula akan memberi ulasan bagi memastikan risiko penularan COVID-19 dapat diminimumkan.
Katanya lagi, KKM mengambil maklum peningkatan kes mendadak selepas PRN Sabah tahun lepas dan ulasan itu akan diberikan berdasarkan pengalaman daripada pilihan raya negeri itu.
“Apa yang kita akan buat adalah memastikan apa yang telah berlaku pada waktu Sabah tidak akan diulangi.
Cuma saya ingin buat sedikit pandangan. Di Sabah tempoh hari kita belum ada vaksinasi. Jadi kita buat penilaian risiko berdasarkan kepada adanya vaksinasi.
“Tapi kita juga terima hakikat di Sabah tempoh hari, tidak ada penularan Delta atau pun varian Delta, kita ambil kira semua perkara ini, sebelum kita memberi ulasan,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
SPR telah menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka sementara hari penamaan calon akan berlangsung pada 8 November dan tarikh mengundi awal pula 16 November.
BACA: PRN Melaka: Apa yang boleh dipelajari dari Singapura, AS, India dan Israel?
BACA: PRN Melaka: SOP diperhalusi, elak kesesakan hari mengundi – SPR
Mengulas mengenai trend peningkatan kes COVID-19 yang sedikit membimbangkan, Khairy berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan buat keputusan drastik seperti sekatan perjalanan dan sebagainya.
“Kita baru saja bagi kebebasan …ini adalah sebahagian daripada apa dimaksudkan kita terpaksa hidup dengan virus ini. Cuma saya telah bincang dengan Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah), melihat kepada data, belum sampai tahap, di mana sistem kesihatan awam akan lumpuh.
“Cuma kita bagi amaran awal, ini adalah tugas KKM. Kalau kita beri amaran bila sistem dah lumpuh, it’s too late already. Jadi sebelum sistem tertekan, walaupun ada kapasiti sekarang ni yang mencukupi, saya dan KP Kesihatan tak mahu sistem tertekan dan lumpuh,” tegas Khairy.
#Khairy Jamaluddin #PRN Melaka #SOP #Suruhanjaya Pilihan Raya
;