PRN Melaka: Semua 112 calon diundang sertai #SuaraUntukSemua sebelum 18 Nov
Afiezy Azaman
November 10, 2021 12:10 MYT
November 10, 2021 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kesemua 112 calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diundang mengambil bahagian dalam inisiatif #SuaraUntukSemua yang dilancarkan pada 8 Nov lalu.
Program dengan kerjasama Bersih 2.0 dan tiga organisasi media iaitu Astro AWANI, Sinar Harian dan Sin Chew Daily itu bertujuan supaya semua calon-calon diberikan peluang dan akses media yang saksama.
Kesemua 112 calon yang bertanding, tidak kira parti dan ideologi politik, boleh menyediakan klip video berdurasi 5 minit untuk dihebahkan melalui organisasi media tersebut.
Disarankan agar calon yang berminat menyertai #SuaraUntukSemua menghantar video berkenaan selewat-lewatnya sebelum 18 Nov, iaitu dua hari sebelum hari pengundian PRN Melaka.
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, sekiranya calon tidak mempunyai alat-alat untuk membuat rakaman, mereka boleh menghubungi pihaknya untuk mengaturkan perkara tersebut.
"Kami berharap agar semua calon dapat mengambil peluang ini yang merupakan satu langkah pertama di mana akses media diberikan kepada semua calon secara saksama," jelasnya.
Langkah-langkah untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini adalah seperti berikut:
i) Rakamkan satu video klip untuk memperkenalkan anda.
ii ) Video klip tersebut tidak boleh melebihi 5 minit.
iii) Sila hadkan penerangan pihak anda seperti berikut:-
a) Perkenalkan diri dan latar belakang
b) Isu-isu tempatan di kawasan bertanding
c) Bagaimana anda akan menangani isu-isu jika dipilih
d) Isu-isu utama di Melaka dan cadangan untuk mengatasinya
iv) Sila ambil perhatian bahawa pihak kami berhak untuk memotong video klip anda jika
ia melebihi 5 minit.
v) Sila hantar rakaman video klip melalui Telegram (t.me/BersihOfficial) atau e-mel ke
media@bersih.org
vi) Keseluruhan video klip akan dimuat naik ke YouTube #SuaraUntukSemua.
vii) Video klip yang telah disunting (edited) akan dihebahkan di Sinar Harian, Astro Awani dan
Sin Chew Daily, pada tarikh dan masa yang akan kami tentukan.
viii) Sila pastikan visual dan suara yang berkualiti (high resolution) dan dirakam secara
landscape.
ix) Sila hantar selewat-lewatnya sebelum 18/11/2021.