PRN Melaka: PDRM nafi ambil tindakan dua darjat - Ketua Polis
Shuhada Abdul Kadir
November 2, 2021 13:05 MYT
November 2, 2021 13:05 MYT
AYER KEROH: Polis Melaka menegaskan, tidak pernah mengamalkan pendekatan pilih kasih atau mengambil tindakan secara dua darjat terhadap setiap tindakan undang-undang khususnya sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Sebaliknya, tegas Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga, kata Abdul Majid, akan memperincikan setiap laporan berlandaskan peraturan dan protokol kesihatan sebelum tindakan diambil.
“Sebelum kita ambil sesuatu tindakan kita akan memberi nasihat, penilaian lapangan dan mengumpul bukti-bukti, baru kita ambil tindakan.
“Saya ingin maklumkan di sini pihak polis tidak pernah menjalankan tugas dua darjat ataupun pilih kasih atau siasatan yang pilih-pilih dalam melaksanakan tugas.
“Kita hanya menjalankan tugas berlandaskan peruntukan undang-undang dengan penuh budi bicara dan kebijaksanaan demi kesihatan awam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Selasa.
Beliau membidas kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa pihak berkuasa mengamalkan dua darjat selepas mengenakan kompaun RM10,000 kepada PKR walaupun parti itu mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal.
Tegas Abdul Majid, dakwaan berkenaan tidak benar dan mana-mana individu yang sangsi dengan tindakan polis boleh tampil mengadakan perbincangan dan tidak mengelirukan rakyat melalui media sosial.
“Saya ingin katakan dakwaan kononnya program itu dijalankan tiada pelanggaran SOP adalah tidak benar kerana apabila kita pergi ke lapangan, kita akan dapatkan bukti-bukti seperti gambar dan rakaman sebelum tindakan diambil.
“Jangan kaitkan tindakan penguatkuasaan dengan parti, kita ‘colour blind’, kita tidak nampak parti dan kita cuma nampak apa kesalahan terhadap individu bukan parti,” tegasnya.
Ahad lalu, PKR Melaka dikompaun RM10,000 kerana mengadakan ceramah berkaitan pilihan raya.
Namun, parti itu mendakwa ceramah bergerak dijalankan tanpa kehadiran orang ramai bagi mengelak jangkitan COVID-19.
Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan semua kegiatan, perhimpunan, berkempen atau majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan pilihan raya negeri itu yang berkuat kuasa sehingga 27 November ini.