PRN Melaka: Kerap banjir melampau, penduduk Ayer Keroh pertimbang tindakan undang-undang
Firdaus Azil
November 9, 2021 13:21 MYT
November 9, 2021 13:21 MYT
AYER KEROH: Sekumpulan penduduk di kawasan Ayer Keroh nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana menurut mereka, tiada tindakan komprehensif diambil untuk menangani isu banjir.
Wakil Penduduk Taman Melawis, Razak Omar berkata, tindakan itu diambil selepas memorandum yang dihantar kepada beberapa pihak, termasuk Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, seolah-olah tiada hasil.
Malah, katanya lagi, penduduk di lebih lima kawasan perumahan di situ, juga telah menaikkan bendera merah, sebagai tanda kekecewaan mereka terhadap cara Pihak Berkuasa Tempatan menangani isu banjir itu.
“Kami telah hantar memorandum kepada Pejabat TYT, CM, dan kami harapkan memorandum ini selesaikan masalah. Malangnya tiada apa yang berlaku dari bulan Mei, hingga November. Dalam tempoh lima bulan kami telah terlibat dengan banjir, sebanyak empat kali.
“Kami juga menaikkan bendera merah. Bukan nak menentang kerajaan, tapi bendera merah untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pihak berkuasa yang tidak menjenguk, tidak lakukan tindakan berkenaan banjir,” katanya kepada Astro AWANI.
Banjir Melaka | Anggota bomba lemas meninggal dunia
Tinjauan Astro AWANI sejak awal bulan ini mendapati, banjir yang melanda kawasan ini telah menjejaskan penduduk di Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Melawis, dan Kampung Sungai Putat.
Penduduk yang ditemui mendakwa, punca banjir yang satu ketika mencapai paras dada itu, adalah susulan perancangan bangunan baharu yang tidak mengambil kira keadaan geografi, serta sistem saliran yang tidak dapat menampung limpahan air berlebihan setiap kali musim hujan.
Ketua Menteri Melaka sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika melakukan tinjauan di kawasan itu pada 1 November lepas, memberitahu media faktor hujan lebat luar biasa yang melanda Melaka, antara faktor menyebabkan banjir kilat.
Sulaiman, yang bakal menghadapi saingan tiga penjuru untuk DUN Lendu pada pilihan raya negeri kali ini memberitahu, fenomena hujan itu luar biasa, dengan kenaikan taburan hujan antara 140 ke 150mm berbanding 30-40 mm pada hari biasa.
Sementara itu, wakil penduduk Bukit Beruang Seksyen 1, Mohd Nazir Md Tahir memberitahu, selama 19 tahun tinggal di kawasan itu, 2021 merupakan tahun paling teruk mereka dilanda banjir.
Mengimbas kembali dua peristiwa banjir yang terbaharu, iaitu pada 20 Oktober dan 1 November lepas, dia berkata, keadaan agak mencemaskan apabila ibu-ibu terpaksa meletakkan bayi mereka yang tidak sampai setahun dalam baldi, untuk meredah banjir.
Mohd Nazir berkata, selain perancangan yang tidak sekata, ada dakwaan mengatakan kolam takungan banjir di Sungai Putat terlalu besar, namun sistem saliran untuk mengeluarkan lebihan air terlampau kecil, hingga mewujudkan keadaan ‘bottle neck’.
“Itu yang menyebabkan kejadian pada awal bulan ini teruk, dengan arus deras. Malah seorang anggota bomba juga terkorban ketika berusaha menyelamatkan penduduk yang terjejas,” katanya lagi.