PRN Melaka: Kerajaan digesa pertimbang ceramah secara maya
Umavathi Ramayah
Oktober 22, 2021 17:08 MYT
Oktober 22, 2021 17:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya melarang sebarang bentuk ceramah politik atau aktiviti berkumpul secara beramai-ramai sehingga Pilihan Raya Negeri Melaka selesai.
Sebaliknya, Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan ceramah berbentuk maya, yang mana lebih selamat diadakan ketika negara masih lagi mendepani pandemik COVID-19.
"Peningkatan mendadak kes COVID-19 selepas Sabah pada tahun lalu harus menjadi pengajaran ketika PRN Melaka kelak.
"Malaysia pernah melalui pengalaman perit melawan COVID-19 ketika PRN Sabah yang mencetuskan gelombang ketiga jangkitan itu di negara," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Syed Mohamed Aljunid menambah, sedangkan, pada PRN Sabah, beberapa negeri masih lagi di bawah sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sekarang, kita bebas bergerak dan dapat merentas negeri. Saya rasa keadaan akan lebih buruk sekiranya tiada tindakan dilakukan," katanya lagi.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka.
Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.
Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.