PRN Melaka: Kali pertama, muka lama, tempat baharu dalam Dialog Tiga Penjuru malam ini
Israr Khalid
November 11, 2021 15:10 MYT
November 11, 2021 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam suasana rakyat menginginkan aroma politik baharu sejak sedekad lepas ini, pilihan raya adalah pentasnya dan ‘pelakon-pelakon’ baharu didamba.
Namun setiap episod sandiwara yang hampir sama naratifnya ini, di samping muka-muka baharu, pertukaran pegangan watak juga berlaku.
Kita telah saksikannya tatkala calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan pada 8 November tempoh hari.
Pada 28 kerusi yang dipertandingkan, ada yang kekal setia di tempat lama, ada yang didepani sosok tidak familiar, ada yang menukar bendera dan cuba beradu ditempat baharu.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin misalnya, dahulu beliau menjunjung bendera UMNO-Barisan Nasional (BN) menaungi DUN Masjid Tanah untuk hampir dua penggal sejak memenanginya pada 2013.
Namun kekecewaannya dengan kepimpinan UMNO-BN menyebabkan beliau keluar daripada parti itu dan tampil dengan panji baharu sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) dari parti Bersatu untuk merebut kerusi N.02 DUN Tanjung Bidara.
Datuk Ng Choon Koon pula, juga dahulunya perwakilan BN dari parti MCA, berpengalaman mentadbir DUN Bemban untuk sepenggal sebelum mencuba nasib di DUN Kesidang pada PRU-14 tetapi tewas dengan calon DAP.
Selepas episod 2018 itu, beliau keluar dari MCA-BN, ada yang kata kecewa selepas diletakkan ke Kesidang oleh kepimpinan parti.
Kini, sebagai calon Bebas beliau kembali untuk merebut semula kerusi lamanya di Bemban.
Pilihan raya negeri ini akan menjadi yang pertama untuk Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, walaupun sudah lebih 36 tahun menjadi pekerja politik untuk UMNO-BN.
Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara diletakkan sebagai calon partinya di N.11 DUN Sungai Udang, menggantikan Datuk Seri Idris Haron yang ke DUN Asahan di bawah bendera PN.
Apa motif mereka? Tak siapa dapat jangka, mungkin boleh sekadar meneka.
Namun, apa pun di sebalik percaturan yang disusun kepimpinan tertinggi parti masing-masing dengan mereka sebagai buahnya, apakah yang mahu ditawarkan oleh tiga sosok ini kepada rakyat kawasan pertandingan mereka sekiranya mandat diberikan pada 20 November nanti?
* Saksikan Dialog Tiga Penjuru pada pukul 8.30 malam ini, hanya di saluran 501 dan astroawani.com.