PRN Melaka: Jabatan Kesihatan sahkan kes jangkitan COVID-19 melibatkan petugas parti

Shuhada Abdul Kadir
November 12, 2021 19:53 MYT
Dr Rusdi Abd Rahman berkata, JKN Melaka turut mengambil langkah segera menutup Bilik Gerakan parti politik itu di Alai serta mengeluarkan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengesahkan seorang petugas jentera parti politik yang bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu disahkan positif COVID-19.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihaknya turut mengambil langkah segera menutup Bilik Gerakan parti politik itu di Alai serta mengeluarkan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, ini kerana siasatan mendapati selain daripada hanya berada di rumah sewa yang bertindak sebagai ‘Call Centre’, individu berkenaan juga ada melawat Bilik Gerakan parti politik terlibat.
“Kes ini merupakan salah seorang daripada petugas jentera sebuah parti politik yang berasal dari Pahang, membantu dalam pilihan raya di Melaka dan berada di negeri ini semenjak 1 November lalu.
“Individu itu telah dikesan positif melalui ujian RTK-Antigen yang dijalankan di sebuah klinik swasta pada 9 November selepas mengalami gejala dan kini sedang menunggu keputusan RT-PCR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 23 kontak rapat telah dikenal pasti yang terdiri daripada rakan serumah dan petugas yang datang dari Pahang dan kesemua mereka telah diarahkan untuk melakukan ujian RT-PCR dan menjalani kuarantin bermula semalam.
Dr Rusdi berkata, susulan terdapat risiko penularan di lokasi bilik gerakan berkenaan, arahan penutupan telah dikeluarkan hari ini serta kompaun RM10,000 kerana tidak melakukan saringan suhu serta gagal menyediakan buku rekod kehadiran.
“JKN juga mengesan tiada saringan ujian RTK-Antigen kendiri setiap dua hari yang perlu dijalankan terhadap petugas atau jentera pilihanraya dilakukan di bilik gerakan itu dan siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengenalpasti kontak rapat dan kontak sosial yang lain.
“Setelah proses disinfeksi selesai dijalankan, dan segala ketidakpatuhan diperbaiki, permohonan boleh dibuat kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk penilaian risiko bagi membuka semula Bilik Gerakan tersebut,” tambah beliau.
Beliau turut memberitahu, kompaun bernilai RM10,000 itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Jelasnya, JKN memandang serius perkara yang berlaku dan menasihati semua jentera pilihan raya serta orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
#PRN Melaka #petugas parti #positif COVID-19 #Jabatan Kesihatan Negeri Melaka
;