PRN Melaka: 'Hasrat saya nak berbaik dengan semua'- Muhyiddin
Fareez Azman
Oktober 21, 2021 14:00 MYT
Oktober 21, 2021 14:00 MYT
MELAKA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berhasrat untuk berbaik dengan semua yang ingin menjalin kerjasama dengan gabungan parti itu.
Namun ujar Muhyiddin, jika tiada kerjasama yang ingin dijalinkan, maka PN jelasnya perlu mengambil keputusan yang bakal membawa kesan yang tidak dapat dielakkan.
"Kami ini pejuang, dalam politik kita hadapi realiti politik, hasrat saya kalau tanya saya hendak berbaik dengan semua orang.
"Ummah ke, perpaduan ummah ke, itu perkara memang biasa kita alu-alukan, tetapi dalam pertimbangan politik dia tidak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok perpaduan dan kepentingan parti masing-masing.
"Bagi saya kita (PN) mungkin tidak (mahu) melambat-lambat, kita sudah ada keputusan tetapi apa pun bila sampai hari penamaan calon kita tengok apa berlaku, sama ada (wujud) gabungan atau tidak, PN sudah bersedia hadapi tiga penjuru," jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, pertimbangan paling penting ketika ini adalah kuasa rakyat memilih parti yang akan mentadbir negeri Melaka dalam PRN November depan.
"Realitinya dalam sistem demokrasi berparlimen, bila jadi macam itu (kejatuhan kerajaan), PRN kena diadakan.
"Saya tahu sentimen orang Melaka keseluruhan, kita akan ambil pendirian jelas dan tegas sama ada akan terkesan atau tidak memang tidak boleh elak.
"Kalau tiga penjuru lain keputusannya, dua penjuru pula lain keputusannya. Tapi pertimbangan paling penting adalah rakyat, pengundi akan putuskan," jelas Muhyiddin lagi.
Mengulas lanjut berhubung pergolakan politik Melaka selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan sehingga jatuhnya kerajaan negeri, Muhyiddin berkata tindakan itu menyebabkan rakyat Negeri Melaka marah ekoran pemimpin politik yang hanya memikirkan kuasa dan bukannya kebajikan rakyat.
"Saya lihat situasi politik melaka PRN Melaka diadakan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan jatuhkan kerajaan.
"Saya bukan orang Melaka tapi ramai saudara di Melaka, mereka agak marah dengan pandemik ini sewajarnya bagi masa.
"Jangan kita sibuk memikirkan soal kuasa sehingga menjejaskan kehidupan rakyat, tetapi apa berlaku telah berlaku," kata Pengerusi PN itu lagi.