PRN Melaka: Ambil tindakan keras, jangan ada 'berselindung' di sebalik program rasmi - Sivamurugan
Umavathi Ramayah
November 2, 2021 15:04 MYT
November 2, 2021 15:04 MYT
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan ke atas parti politik dan pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seharusnya menyeluruh dan dimulakan segera supaya tidak wujud tindakan luar biasa dengan 'berselindung' di sebalik program-program rasmi yang memberi kelebihan kepada satu-satu pihak.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian memberitahu, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kuasa dan kedudukan mana-mana parti politik atau pemimpin untuk berkempen sehingga menidakkan peluang pihak lain.
"Penguatkuasaan peraturan seharusnya menyeluruh dan bukan hanya terhad pada waktu PRN sahaja nanti, tetapi mengapa tidak dimulakan segera supaya tidak wujud tindakan luar biasa dengan mengadakan program rasmi.
"Mereka yang tidak mematuhi (peraturan) harus diambil tindakan yang keras agar tidak mengulangi tindakan yang sama pada masa akan datang dengan menggunakan sedikit kelonggaran yang diberi.
"Dalam meraih proses pendemokrasian, kita juga harus memastikan tidak ada pihak yang menyoal bagaimana ada parti politik atau pemimpin yang menyalahgunakan kedudukan mereka untuk berkempen," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Sesungguhnya, Sivamurugan memberitahu, menghormati akan undang-undang juga sebenarnya akan memberi nilai tambahan kepada kedua-dua pihak secara langsung.
Sivamurugan memberitahu, pasukan pemantauan seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu berani dalam memastikan soal keselamatan diutamakan demi memastikan perjalanan pilihan raya.
Sehubungan itu katanya, pemantauan secara berterusan harus dilakukan sepanjang berkempen supaya kita dapat menjadikannya sebagai satu petunjuk kepada PRN lain seperti Sarawak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.