PRN Melaka: 476,037 individu biasa layak mengundi - SPR
Afiezy Azaman
November 18, 2021 11:00 MYT
November 18, 2021 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru seramai 476,037 individu biasa yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang telah mengundi secara pos.
Kata beliau, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan COVID-19.
"Pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui beberapa saluran, antaranya portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
"Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pemilih.
"SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.
"Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.
"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi," jelasnya.
Selain itu jelasnya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini.