PRN Melaka: 217 pusat mengundi, 1,109 saluran dibuka esok - SPR

Fareez Azman
November 19, 2021 14:19 MYT
IKMALRUDIN: Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. - Gambar fail
MELAKA: Sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka dalam hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, bagi memastikan kelancaran hari mengundi, seramai 12,290 petugas pilihan raya akan ditugaskan.
"Seramai 476,037 orang pengundi bakal mengundi di PRU DUN Melaka ke-15 esok. SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.
"Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak," jelasnya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Tambahnya, pengundi yang tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi ditetapkan atas sebab tertentu, masih boleh menunaikan tanggungjawab mereka bermula jam 8 pagi sehingga 5.30 petang.
SPR juga jelas Ikmalrudin, ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada hari pengundian esok.
Jika gagal, ujarnya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.
Mengulas mengenai persiapan pula, SPR katanya telah menjalankan semakan peralatan mengundi dan akan diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi.
Hari penentu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok bakal menyaksikan 476,037 orang pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
#PRN Melaka #pengundi #DUN Melaka #SPR
;