PRN: Lelaki sindrom Down teruja keluar mengundi
Bernama
Ogos 12, 2023 13:10 MYT
Ogos 12, 2023 13:10 MYT
SEKINCHAN: Meskipun kurang upaya, seorang lelaki sindrom Down teruja dan gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini.
Lim Wei Hoong, 33, mengundi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, di sini pada 9 pagi bersama-sama dua adik perempuannya.
"Saya sangat happy (gembira)," katanya yang ditemui Bernama di pusat mengundi berkenaan.
Seorang daripada adik perempuan Wei Hoong yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata ini merupakan kali kedua abangnya mengundi.
"Dari semalam lagi dia (Wei Hoong) sudah bertanya mengundi di mana dan pukul berapa mahu pergi mengundi. Hari ini dia bangun sangat awal.
"Kami tidak mengajarnya cara mengundi kerana dia memang tahu bagaimana caranya. Dia juga mempunyai calon pilihannya sendiri," katanya.
Pada PRN hari ini, kerusi DUN Sekinchan menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandangnya Ng Suee Lim daripada Pakatan Harapan dan Datuk Goh Gaik Meng daripada Perikatan Nasional.
-- BERNAMA