PRN: Lebih 50 peratus keluar mengundi di enam negeri dan satu PRK setakat 11 pagi
Afiezy Azaman
Ogos 8, 2023 12:10 MYT
Ogos 8, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Peratusan keluar mengundi bagi undi awal di enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu mencecah lebih 50 peratus setakat 11 pagi ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kelantan merekodkan peratusan tertinggi iaitu 63 peratus.
Ini diikuti Kedah sebanyak 61 peratus dan Negeri Sembilan dengan 60 peratus.
Manakala Pulau Pinang dan Terengganu masing-masing mencatatkan 59 peratus.
Selangor pula merekodkan 55 peratus manakala peratusan undi awal bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu direkodkan sebanyak 53 peratus.
Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi tadi.
Turut dibuka ialah tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sempena PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.