PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) kesihatan pilihan raya sedia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata KKM juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan jabatan berkaitan termasuk SPR sekiranya SOP pencegahan COVID-19 perlu ditambah baik atau disemak berdasarkan situasi semasa COVID-19.

Antara SOP pencegahan COVID-19 sedia ada yang diguna pakai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas ialah individu yang positif dibenarkan mengundi dengan SOP tertentu.

"Setakat ini kalau kita lihat trend kes-kes yang kita terima, kita ambil maklum dan SOPnya adalah sedia ada.

"Tetapi kita akan bincang jika perlu lakukan langkah-langkah lebih berbeza daripada SOP biasa dan akan berbincang dengan SPR, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi terlibat jika perlu ada prosedur lain untuk penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat KKM hari ini.

SPR menetapkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

-- BERNAMA