PRN: Ketua Menteri Pulau Pinang menghadap TYT mohon perkenan bubar DUN Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 27, 2023 08:30 MYT
Jun 27, 2023 08:30 MYT
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini menghadap Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi Seri Mutiara untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kenderaan rasmi membawa Chow Kon Yeow tiba di pintu utama Sri Mutiara tersebut pada jam 7.53 pagi.
Kon Yeow dijangka akan membuat sidang media khas berkenaan pembubaran DUN pada petang ini di Komtar, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, di bawah Pakatan Rakyat ketika itu, gabungan itu memenangi 29 dan 30 kerusi negeri masing-masing daripada 40 kerusi dan membentuk kerajaan negeri.
Pada 2018, di bawah Pakatan Harapan (PH) dan rakan gabungan baharu Bersatu, pakatan itu memenangi kemenangan besar dengan 37 kerusi DUN menewaskan Pas dan Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya itu DAP menawan kerusi terbanyak iaitu 19, diikuti PKR dengan 14 dan masing-masing dua bagi Parti Amanah Negara, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO. Satu kerusi menjadi milik Pas.
Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan PRN dalam tempoh terdekat.
Selangor dan Kelantan sudah membubarkan DUN manakala DUN Pulau Pinang dan Kedah masing-masing akan dibubarkan pada 28 Jun ini.
Sementara itu, DUN Negeri Sembilan pula akan dibubarkan pada 30 Jun.