PRN: Kena 'bantai' teruk pun, Zahid Hamidi tidak akan turun - KJ

Shuhada Abdul Kadir
Ogos 12, 2023 14:15 MYT
Khairy Jamaluddin menjangkakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan melepaskan jawatannya meskipun parti itu mencatatkan keputusan buruk pada Pilihan Raya Negeri kali ini. - Gambar Astro AWANI
REMBAU: Khairy Jamaluddin menjangkakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan melepaskan jawatannya meskipun parti itu mencatatkan keputusan buruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu yakin Ahmad Zahid akan mengambil langkah sama seperti yang dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) tewas di kebanyakan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kalau UMNO mengalami keputusan paling buruk hari ini pun, Ahmad Zahid tidak akan turun (letak jawatan).
“UMNO akan kekal seperti biasa, UMNO akan buat tidak tahu sebab saya punya ramalan seperti PRU lalu UMNO kena ‘bantai’ teruk pun dia (Ahmad Zahid) akan buat tidak tahu lah,” katanya.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian DUN Kota di Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Mohd Yatim, Gadong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas peratusan keluar mengundi yang masih rendah, Khairy tidak menolak kemungkinan rakyat sudah letih dengan polemik politik ketika ini.
Bagaimanapun, beliau menyeru pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka memandangkan PRN ini amat amat penting dalam menentukan dinamik politik di peringkat negeri.
“Saya tengok rata-rata agak perlahan, saya tidak tahu apa maksudnya (tetapi) mungkin terlalu banyak pilihan raya dan mereka sudah letih.
“Tetapi PRN ini penting yang mana walaupun tidak ada kesan di peringkat kerajaan persekutuan, tetapi ini boleh menentukan kerajaan di peringkat negeri yang banyak menyelesaikan masalah harian rakyat biasa,” ujar beliau lagi.
#PRN #Zahid Hamidi #Khairy Jamaluddin #Presiden UMNO
;