PRN: JSPT laksana Op Lancar pulang mengundi

Sinar Harian
Ogos 11, 2023 13:15 MYT
Fokus utama JSPT adalah memastikan aliran trafik lancar dan terkawal buat pengguna jalan raya yang pulang mengundi dan kembali semula ke ibu kota selepas hari pengundian. - Gambar hiasan
SHAH ALAM : Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan berlaku pertambahan aliran kenderaan sehingga 1.9 juta di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan 150,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.
Timbalan Pengarah (I) JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya akan melaksanakan Op Lancar bermula Jumaat hingga Ahad ini sempena PRN sekali gus memastikan kelancaran aliran trafik buat semua pengguna jalan raya.
Beliau berkata, fokus utama JSPT adalah memastikan aliran trafik lancar dan terkawal buat pengguna jalan raya yang pulang mengundi dan kembali semula ke ibu kota selepas hari pengundian.
Menurutnya, penugasan anggota akan tertumpu kepada negeri terlibat PRN seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, seterusnya lokasi di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran terutama kawasan 'hot spot' yang berlaku kesesakan.
"Pemantauan juga akan dilakukan di susur keluar lebuh raya dan persimpangan lampu isyarat sekiranya ia boleh menyebabkan kesesakan melampau.
"Seramai 3,000 petugas JSPT melibatkan kekuatan daripada semua kontinjen termasuk bantuan sumber manusia daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah diatur gerak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Mohd Nasri berharap semua pengguna jalan raya yang pulang mengundi dapat mematuhi semua peraturan lalu lintas.
"Pematuhan peraturan jalan raya bukan sahaja akan dapat memastikan selamat ke destinasi dituju, malah berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Sentiasa bertoleransi semasa memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas, selain mengikuti semua arahan petugas PDRM di lapangan," ujarnya. - Sinar Harian
#PRN #Bukit Aman #kesesakan trafik #info trafik terkini
;