PRN Johor: Wong Bor Yang diumum calon DAP kerusi DUN Senai

Fareez Azman
Februari 19, 2022 11:37 MYT
Bor Yang merupakan pegawai khas Ahli Parlimen Kulai dan pernah memegang jawatan Ketua Whip DAP Ahli Majlis Perbandaran Kulai bagi tahun 2018 hingga 2020. - Foto Facebook/Wong Bor Yang
KUALA LUMPUR: Tidak sampai beberapa jam selepas pengumuman dua calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan dan Pekan Nenas, DAP mengumumkan seorang lagi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, dalam satu sidang media pada petang Sabtu mengumumkan Wong Bor Yang sebagai calon bagi kerusi DUN N52 Senai.
Bor Yang merupakan pegawai khas Ahli Parlimen Kulai dan pernah memegang jawatan Ketua Whip DAP Ahli Majlis Perbandaran Kulai bagi tahun 2018 hingga 2020.
Ketika ini, terdapat dua lagi nama calon yang belum diumumkan dan dikatakan akan dibuat dalam masa terdekat.
BACA: PRN Johor: DAP umum calon Bentayan dan Pekan Nenas, 3 lagi kerusi masih teka-teki
Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dikhabarkan akan membuat kemunculan bagi kerusi DUN Perling dalam PRN kali ini.
Bagaimanapun, persoalan itu hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat parti itu.
Sebelum ini DAP telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan 16 daripada keseluruhan 56 kerusi, tetapi telah bersetuju untuk menyerahkan dua kerusi iaitu Machap dan Bukit Permai kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Seramai 14 calon DAP telah diumumkan Guan Eng dalam beberapa siri sidang media sebelum ini.
#PRN Johor #politik #DAP #Lim Guan Eng #calon #Wong Bor Yang #Johor Memilih #pilihan raya negeri