PRN Johor: SPR disaran permudah akses pengundian, perluas undi pos - Pengerusi Bersih
Rahimah Abdullah
Mac 12, 2022 17:03 MYT
Mac 12, 2022 17:03 MYT
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran memperluaskan pelaksanaan undi pos kepada pengundi yang tidak dapat pulang ke negeri masing-masing termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, langkah itu boleh dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos-kos yang terpaksa ditanggung pengundi termasuk pengangkutan.
Katanya, dalam konteks negara Malaysia yang saiznya agak besar, terdapat ramai pengundi yang menetap atau bekerja di jauh dari negeri kelahiran atau tempat mengundi.
"Kalau mereka di Sabah Sarawak, mereka perlu kos tinggi, maka ramai tidak akan mengundi.
Jadi undi pos perlu diberi kepada mereka yang tidak dapat balik mengundi," kata Thomas memberi cadangan itu dalam wawancara dengan Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam masa sama, Thomas berkata, SPR juga wajar melihat semula isu tempoh penerimaan dan penghantaran kertas undi pos pengundi di luar negara bagi melancarkan proses pengundian.
"Namun apa yang kita tengok sekarang dan amat boleh ditambah baik ialah undi pos luar negara sebab masa yang ada untuk mereka daftar adalah pendek.
"Saya dapat maklum balas mereka (pengundi luar negara) menerima kertas undi pada hari ketujuh atau kelapan dan mereka hanya ada tiga hari sahaja untuk mengirim semula sampul undi pos ke Malaysia. Jadi ia adalah satu masalah, " ujarnya,
Selain itu, katanya, masih ramai antara pengundi yang tidak sedar bahawa mereka boleh mengundi pos termasuk mereka yang ketika ini bekerja di Singapura.
Dalam pada itu, Thomas menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini mungkin rendah selepas melakukan pemerhatian di kebanyakan pusat mengundi di negeri itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan keadaan itu disebabkan kekurangan dari segi kempen keluar mengundi susulan kekangan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kerana wabak COVID-19, SOP SPR dan KKM (Kementerian Kesihatan) ada sedikit sekatan di mana keadaan kempen tidak sama seperti dulu, semangat orang (untuk) keluar undi kurang.
"Di Johor Bahru, bendera tidak banyak sebab halangan kepada ceramah. Kebanyakan parti ceramah tidak ramai orang.
“Dari segi keadaan, ia lebih baik dari Melaka dan Sarawak namun masih tidak mencukupi dan kerana itu saya risau ini akan kesan kepada jumlah pengundi," tambah beliau lagi.