PRN Johor: Pengantin baharu tunai tanggungjawab di hari persandingan
Izlaily Nurul Ain Hussein
Mac 12, 2022 17:46 MYT
Mac 12, 2022 17:46 MYT
JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang juga pengantin baharu tidak sangka hari persandingan yang dirancang hari ini akan bertembung dengan hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagi Zaimah Nassir, 27, dia rasa teruja apabila dapat menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Johor walaupun agak sibuk membuat persiapan bagi majlis persandingannya dari pagi tadi.
Kata pereka grafik itu, dia terpaksa meneruskan majlis persandingannya itu kerana sudah dirancang sebelum tarikh pilihan raya diumumkan.
"Saya agak teruja kerana saya masih dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Johor, walaupun berkahwin hari ini.
"Sebenarnya, kita sudah tetapkan tarikh majlis ini sebelum tarikh pilihan raya diumumkan lagi, jadi apabila dapat tahu hari ini hari mengundi, kami buat keputusan untuk teruskan sahaja majlis," katanya.
Zaimah ditemui di pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu dekat Kampung Melayu Majidee di sini, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, selepas selesai mengundi.
Dia yang ditemani suaminya, pegawai kerajaan, Faiq Basri, 29, tiba di pusat mengundi itu pada jam 3.55 petang.
Pasangan pengantin baharu yang bernikah pada 25 Februari lalu itu akan terus bergegas ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat kerana Faiq pula akan mengundi bagi DUN Parit Raja
Menurut Zaimah, dia bersyukur perjalanan majlis persandingannya dan proses mengundinya juga berjalan lancar.
"Walaupun lokasi majlis persandingan saya berdepan kesesakan lalu lintas memandangkan terdapat pusat mengundi juga di kawasan itu, namun dengan bantuan polis dan pasukan sukarelawan selain saudara mara, masalah kesesakan dapat diselesaikan dan berjalan lancar," katanya.
Ini merupakan kali kedua Zaimah dan suaminya mengundi.
#pengantin baharu
#PRN Johor
#Johor Memilih
#Zaimah Nassir
#Faiq Basri
#DUN Larkin
#pilihan raya negeri
#suami isteri