PRN Johor: Pendidikan, pekerjaan dan perumahan agenda calon BN di Bukit Pasir
Israr Khalid
Mac 9, 2022 07:30 MYT
Mac 9, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) N.08 Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohammad Salleh mahu meneruskan perancangan tergendala yang telah diatur oleh kerajaan BN di kawasan itu sebelum perpindahan kuasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tegasnya, tiga perkara yang mahu diberi tumpuan yakni pendidikan, pekerjaan serta perumahan untuk dibangunkan andai diberikan mandat oleh pengundi pada 12 Mac ini.
Kata Fazli, segala yang telah dirancang BN di Pagoh secara amnya sudah cukup cantik, dengan pelan pembangunan bandar universiti ditambah dengan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berhubungkait rapat dengan tiga perkara yang mahu diperjuangkannya itu
“Ketiga-tiga itu dalam satu kitaran yang baik - bila seseorang itu sudah berjaya dalam pelajaran dia memerlukan pekerjaan, dan bila sudah ada kerjaya seterusnya berkeluarga dengan baik dengan perubahan yang akan kita sediakan.
“InsyAllah kita akan gunakan sepenuhnya apa yang sudah ada dan kita mampu untuk menangani isu-isu anak tempatan keluar mencari pekerjaan di tempat lain,” katanya.
Strateginya bermula dengan pendidikan, di mana beliau mahu menyediakan pendidikan percuma di luar sekolah seperti tuisyen tanpa bayaran serta berhasrat untuk menghubungjalinkan antara sekolah-sekolah di Bukit Pasir dengan universiti-universiti dan kolej-kolej di sekitar.
Kemudian projek jalan raya pintasan Bukit Pasir yang dimulakan oleh kerajaan BN dahulu mahu dimanfaatkan dengan memacu pembangunan pekan-pekan baharu di sepanjang ‘bypass’ itu, yang sekaligus akan merancakkan pelbagai aktiviti ekonomi.
“Kawasan Bukit Pasir ini masih banyak tanah kosong yang insyaAllah boleh kita gunakan untuk pembangunan perumahan mampu milik.
“Dengan adanya hab pendidikan dan kereta api laju, limpahan ekonomi daripada Singapura dan Kuala Lumpur akan tertumpu di Pagoh khususnya di DUN Bukit Pasir.”
Tonton temu bual penuh Fazli bersama hos Nazri Kahar dalam program Agenda AWANI Johor Memilih, di sini: