"PRN Johor? Peduli apa saya, baik cari kerja pastikan perut anak, isteri terisi" - Gelandangan

Firdaus Azil
Februari 15, 2022 12:42 MYT
Affandi, antara ratusan gelandangan di JB tidak begitu kisah tentang PRN Johor, apa yang penting perjuangan teruskan kehidupan seharian. - Foto Astro AWANI
SEWAKTU proses demokrasi di Johor ini semakin riuh dengan percaturan strategi politik, rundingan demi rundingan bagi menentukan kerusi, gerak kerja jentera di serata negeri, bagi Mohammad Affandi Mohamed Jufri, 33, itu semua tidak bermakna.
Apa yang penting bagi anak kelahiran Kota Tinggi itu ialah kewajaran untuknya keluar mencari rezeki dengan cara menjaga tempat parkir kereta atau mengambil apa sahaja upah demi kelangsungan hidup keluarga tercinta.
Bukan sahaja untuk dirinya, malah demi isterinya Siti Hajar Mohd Sharom, 27 dan anak kesayangan mereka, yang berusia tujuh tahun.
Affandi tidak sukar untuk ditemui di Johor Bahru. Dia berada di kaki lima di satu blok kedai yang terletak di Jalan Dataran Larkin 2.

Tapi apa ertinya, berbicara soal demokrasi, kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi apa ertinya untuk Rakyat seperti Fandi dan isteri? Dia berceritakan kepada saya, hidup di jalanan sejak Mei 2021. #JohorMemilih #PRNJohor pic.twitter.com/wRQslsHFkh

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) February 12, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
SEMUA ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG PRN JOHOR
Beralaskan kotak-kotak terpakai, selimut nipis untuk dia sekeluarga, berbantalkan beg galas yang sendat terisi pakaian seharian dan tempat tidur seharian mereka itu hanya diterangi lampu kalimantang yang dipasang pada waktu malam.
Mereka bertiga merupakan antara ratusan gelandangan yang berada di pusat bandar raya Johor Bahru, yang gah dengan status tiga Majlis Bandaraya berdekatan antara satu sama lain.
“Saya tak pedulilah, bang, siapa nak bertanding ke apa ke. Yang penting, saya perlu pastikan perut isteri dan anak saya terisi. Sebab itu kami memilih untuk tinggal di sini (berdekatan khemah agihan makanan untuk gelandangan).
“Saya tak tahu masa depan macam mana. Saya memang nak kerja. Tak lama lagi anak saya dah nak bersekolah. Baju, beg saya dah beli. Bagi saya, tak pandai sekolah tak apa, janji mesti pandai agama,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.
Affandi dan Siti Hajar, merupakan antara puluhan golongan gelandangan yang berada di jalan itu, menanti jam 5.30 petang setiap hari, kerana di situ Persatuan Kebajikan Masyarakat Insani Kasih Johor Bahru (I-Kasih) mengagihkan makanan dan pakaian kepada mereka.
“Kadang-kadang saya kerja di bandar, tolong jaga parkir, dapat RM40 hingga RM50 sehari, itu saja. Takkan saya nak minta sedekah? Nanti kata saya guna anak minta sedekah,” katanya lagi.
“Ada pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat jumpa, dia kata kalau tak ada duit makan jumpa penghulu atau pejabat daerah tanah ni, tapi saya tak nak. Nanti dah biasa meminta-minta. Saya tak pergi, kita usaha cara sendiri. Saya tak mahu nanti orang cakap 'bagi bantuan sekali, nak lagi',” katanya lagi
120 PEK MAKANAN SEHARI UNTUK GELANDANGAN
Sementara itu, yang Dipertua I-Kasih, Zuraini Tahir memberitahu Astro AWANI, pihaknya cuba sedaya upaya untuk memastikan sekurang-kurangnya 120 pek makanan tersedia setiap hari untuk golongan tersebut.
“Setiap hari kita bekalkan makanan bermasak seperti nasi, lauk berlauk. Dan juga jumlah kos dalam RM600 sehari.
“Jadi kita amat memerlukan sumbangan daripada ramai pihak. Tak kira ahli-ahli politik atau ahli perniagaan, amat perlukan sumbangan daripada mereka. Kerana kita terpaksa, atau kita memang sepatutnya mengadakan 120 pek makanan sehari,” katanya lagi.
Zuraini, atau turut dikenali sebagai, Raymie, merupakan anggota kumpulan rock tanah air, iaitu Febian’s.
Dalam kesibukan melaksanakan tugasan seharian, memenuhi undangan untuk membuat persembahan, serta terlibat dalam menguruskan aturcara majlis berkaitan politik, pukul 5.30 petang setiap hari, beliau akan berada di kawasan gelandangan itu bersama pasukannya.
GELANDANGAN ITU UNIVERSAL
Gelandangan itu sendiri konsepnya universal, tidak mengenal siapa mangsanya, kaum atau apa agamanya, jantina baik lelaki atau perempuan, mahupun usia.
Pemerhatian Astro AWANI di kawasan itu mendapati, golongan gelandangan berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, ada yang tua dan ada yang muda, tidak kurang juga usia sekecil adik Muhammad Haziq, iaitu 7 tahun.
“Punca masalah gelandangan bila mereka hilang pekerjaan, tak dapat teruskan kehidupan, terpaksa duduk di tepi jalan, kerana tak ada sumber pendapatan lagi.
“Sebelum ini ada yang bekerja di Singapura, cuci pinggan, tukang cuci pun ada. Kini, suka tak suka mereka terpaksa datang ambil makanan, minta bantuan rumah, bilik sewa dan sebagainya.
“Jadi sebagai satu NGO, kita rasa terpanggil untuk bantu golongan ini bagi menyelesaikan masalah sosial di daerah Johor Bahru khususnya,” kata Zuraini @ Raymie itu lagi.
TMJ MAHU RUMAH GELANDANGAN SIAP LEBIH AWAL
Pada Jun tahun lepas, media antarabangsa melaporkan lebih 500 gelandangan di Johor Bahru, terdedah dengan pandemik COVID-19, sewaktu negara ini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Laporan itu sampai ke pengetahuan Istana Bukit Serene, sehinggakan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan segera mewujudkan pusat transit gelandangan sementara kepada golongan berkenaan.
“Dengan adanya rumah gelandangan sementara, maka risiko jangkitan akan menurun dan mereka juga dapat divaksinasi sambil diberi sokongan yang sepenuhnya untuk kembali kepada kehidupan normal.
“Mereka juga manusia dan berhak untuk menjalani hidup yang bermaruah,” titah Tunku Ismail lagi.
BACA: TMJ titah pembinaan Pusat Transit Gelandangan di JB dipercepatkan
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail pada 7 September lepas dilaporkan berkata, sehingga Jun 2021, sebanyak 86 operasi menyelamat telah dilaksanakan secara bersepadu, dengan 124 orang pengemis dan kutu rayau telah diselamatkan.
Selain itu, Zaiton berkata, MBJB sedang giat membangunkan Pusat Transit Gelandangan Negeri Johor di Taman Larkin Perdana yang dijangka siap pertengahan 2022 dengan kos RM7.64 juta.
KOMITMEN KERAJAAN NEGERI UNTUK GELANDANGAN
Dalam pembentangkan Belanjawan Johor 2022 tahun lalu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Projek Ekonomi Rakyat dan Kumpulan Sasar (PERKASA).
Beliau berkata, projek itu dahulu dikenali sebagai Projek Pembangunan Ekonomi Johor (PROPER) oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim.
“(Projek ini bertujuan) memperbaiki keadaan ekonomi rakyat terutamanya masyarakat luar bandar.
“Projek ini memberi peluang pekerjaan dalam sektor tani secara kecil-kecilan kepada 16 komuniti setempat tanpa mengira kaum, gelandangan dan OKU. Peruntukan bagi inisiatif ini adalah sebanyak RM300 ribu,” katanya lagi.
Zuraini ketika menutup perbualan memberitahu, sempena dengan Pilihan Raya Negeri Johor kali ini, beliau mengharapkan mana-mana ahli politik yang berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN Larkin, atau mana-mana kerusi di Johor Bahru ini, untuk mengambil tahu tentang permasalahan gelandangan ini.
“Kita minta semua wakil-wakil yang akan bertanding di Larkin ini datang bantu kami (NGO), lihat sendiri keadaan, apa yang berlaku dan sepatutnya dilakukan.
“Dengan itu saya seru kepada semua, yang akan dilantik sebagai AhlI Dewan Undangan Negeri Larkin ini turun padang tengok kesusahan mereka, dan terus membela nasib asnaf dan gelandangan,” katanya lagi.
APAKAH ADA SINAR UNTUK GELANDANGAN?
Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 menyaksikan kerusi DUN Larkin dimenangi oleh calon Pakatan Harapan, Datuk Mohd Izhar Ahmad dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau memperoleh majoriti 8,590 dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yahya Ja’afar dan calon Pas Zakiah Tukirin.
Menurut Daftar Pemilih Pilihan Raya untuk PRN Johor kali ini, kerusi DUN N44 Larkin menyaksikan pertambahan pengundi yang agak ketara iaitu 76,004 orang pengundi, berbanding 55,858 yang mengambil bahagian pada PRU lepas.
Penambahan mendadak itu ekoran pelaksanaan Undi 18, serta pelaksanaan pendaftaran automatik untuk warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
Statistik terkini menunjukkan Johor Bahru mempunyai 136,581 pengundi, manakala satu lagi DUN di bawahnya iaitu N45 Stulang mempunyai jumlah pengundi seramai 60,577 orang.

Nota; Liputan Khas ini akan bersiaran dalam Buletin AWANI jam 8 malam ini

#PRN Johor #golongan asnaf #golongan gelandangan #Mohammad Affandi Mohamed Jufri
;