PRN Johor: MCMC, telco sediakan internet berkelajuan tinggi di lokasi SPR, parti politik

Bernama
Januari 28, 2022 20:26 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata lokasi utama bagi pemasangan peralatan capaian Internet akan ditumpu kepada lokasi operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti politik yang bertanding. - Gambar fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi (telco) dalam menyediakan capaian Internet berkelajuan tinggi bagi melicinkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata lokasi utama bagi pemasangan peralatan capaian Internet akan ditumpu kepada lokasi operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti politik yang bertanding.
"Ia sebagai satu antisipasi kepada peningkatan penggunaan data dan Internet semasa perjalanan PRN terutama bagi melicinkan tugas SPR sendiri yang perlu menggunakan banyak sekali data dan kemudahan Internet. Maka mana-mana markas operasi SPR dan juga markas operasi parti yang bertanding akan dipasang boosting atau penghala.
"Semua peralatan itu dibekalkan oleh telco dan dibantu MCMC malah saya juga telah memberikan arahan kepada MCMC untuk membuat semakan tahap kelajuan dan liputan Internet di Johor sewaktu PRN diadakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pasca Banjir di Dewan Komuniti Ayer Hitam hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menghadapi PRN Johor yang bakal berlangsung kerana kebanyakan parti politik akan menggunakan platform media sosial.
Ditanya sama ada parti politik boleh menggunakan ruang dalam media kerajaan sewaktu kempen PRN Johor, Annuar berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jemaah Menteri.
"Televisyen siarannya nasional sifatnya, sedangkan PRN hanya berlaku di negeri maka penggunaan radio mungkin lebih membantu. Kita akan berunding dengan kerajaan negeri supaya semuanya berjalan dengan tertib secara adil dan saksama.
"Kita sudah ada garis-garis panduan berdasarkan pengalaman kita dalam dua PRN sebelum ini iaitu di Melaka dan Sarawak. Nampaknya ia berjalan dengan baik dan banyak membantu calon-calon," katanya.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb ini.
-- BERNAMA
#MCMC #telco #syarikat telekomunikasi #Capaian internet #PRN Johor #pilihan raya negeri #Annuar Musa
;