PRN Johor: Makkal Sakti harap dapat kerusi wakili BN

Bernama
Januari 30, 2022 18:47 MYT
Thanenthiran berkata pihaknya membuat permohonan kepada Ahmad Zahid baru-baru ini dan Pengerusi BN itu telah memberi indikasi positif berhubung perkara tersebut. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berharap Barisan Nasional (BN) mempertimbang permohonan parti itu untuk bertanding atas tiket gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Makkal Sakti Datuk Seri RS Thanenthiran berkata pihaknya membuat permohonan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dan Pengerusi BN itu telah memberi indikasi positif berhubung perkara tersebut.
"Berapa banyak kerusi atau kerusi mana, itu kita tidak tetapkan dan tiada syarat langsung, apa yang kami mahu hanyalah peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan bersama Makkal Sakti di sini hari ini.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Mengulas kerjasama Makkal Sakti dengan BN, beliau berkata Friends of BN itu akan terus setia meskipun terdapat beberapa tawaran daripada parti lain selepas gabungan tersebut mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Thanenthiran juga berkata parti itu bersedia menggerakkan seramai 27,000 ahli di Johor untuk sama-sama berkempen bagi memenangkan BN pada pilihan raya berkenaan.
-- BERSAMA
#PRN Johor #Makkal Sakti #BN #mohon kerusi
;