PRN Johor: KKM syor beri kelonggaran penceramah dibenar buka pelitup muka - Khairy
Bernama
Mac 6, 2022 16:39 MYT
Mac 6, 2022 16:39 MYT
PONTIAN: Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada penceramah, untuk tidak memakai pelitup muka ketika memberi ucapan dalam aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun, kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) itu hanya dibenarkan, sekiranya terdapat penjarakan fizikal yang sesuai dalam aktiviti berkempen.
"Saya telah bincang perkara ini dengan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan kita dapati kalau ada penjarakan fizikal yang sesuai, penceramah yang sedang memberi ucapan sahaja dibenarkan untuk membuka pelitup muka.
"Syor juga telah dikemukakan kepada SPR tetapi tentunya ia bergantung kepada KKM punya pandangan dan kita rasa berdasarkan kepada penilaian risiko, agak selamat kalau yang berucap itu sahaja buka pelitup muka seketika," katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Serkat, Kukup dekat sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung sama ada terdapat kelonggaran baharu terhadap SOP berkaitan aktiviti kempen pada PRN Johor, memandangkan banyak pihak terlibat dalam pilihan raya itu dikompaun sebelum ini.
Khairy turut berkata isu berkaitan SOP itu akan diteliti serta ditambah baik dari semasa ke semasa, kerana KKM dan SPR bersikap adil dalam hal ini sekiranya aduan atau pandangan yang diberikan adalah munasabah.
SPR sebelum ini menetapkan ceramah atau syarahan atau kempen dibenarkan diadakan di dalam serta di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi, dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang.
Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dapat diamalkan dan semua perlu memakai pelitup muka.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.
-- BERNAMA
#KKM
#kelonggaran
#pelitup muka
#kempen
#SOP
#penjarakan fizikal
#Khairy Jamaluddin
#PRN Johor
#Johor Memilih
#pilihan raya negeri