PRN Johor: 'Kempas itu istimewa'... Apa kata calon?

Bernama
Mac 9, 2022 12:20 MYT
(Dari kiri) Ramlee, Nornekman dan Napsiah. Setiap calon merasakan mereka mempunyai sebab peribadi tersendiri mengapa Kempas begitu istimewa bagi mereka. - Bernama
JOHOR BAHRU: Apabila ditanya apa istimewanya Kempas, sebuah kawasan di pinggir bandar raya Johor Bahru, sering kali otak-otaknya yang terkenal di seluruh pelusuk tanah air menjadi jawapan ramai.
Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas antara yang mencuri perhatian kerana ia merupakan satu daripada dua kawasan yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru selain DUN Tiram.
Apa yang menarik, calon-calon pula merasakan mereka mempunyai sebab peribadi tersendiri mengapa Kempas begitu istimewa bagi mereka sehingga memilih bertanding di kawasan DUN itu.
Anak muda berniaga
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Bohani, Kempas adalah tempat yang dipertanggungjawabkan kepada beliau semasa menjadi ahli Majlis Bandar Raya Johor Bahru dari 2005 hingga 2018 dan dilantik semula pada 2020 hingga sekarang.
Beliau berkata atas pengalaman itu, terdapat beberapa pembaharuan yang ingin dibawanya jika beliau terpilih menjadi wakil penduduk Kempas, antaranya menyediakan peluang kepada anak muda di situ untuk menaik taraf kehidupan mereka dan menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda kawasan itu.
"Kalau kita lihat kepada minat anak muda dalam perniagaan, macam cendawan tumbuh di kawasan Kempas. Kita (kerajaan) perlu memikirkan bagaimana kita dapat menyediakan wang-wang perniagaan yang bersesuaian untuk mereka dengan lebih banyak lagi yang boleh memberikan peluang kepada anak muda di kawasan itu," katanya.
Kualiti hidup
Bagi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Nornekman Osman, beliau ingin menyambung perjuangan arwah ayahnya iaitu bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN itu pada 1999 hingga 2013 dan pada 2018 sehingga beliau meninggal dunia pada 21 Dis tahun lepas.
"Arwah ayah saya beri sepenuh perhatian dan perkhidmatannya kepada Kempas, lebih daripada segalanya dan saya mahu menyambung perjuangan beliau," kata Nornekman.
Beliau berkata dalam menyambung perjuangan itu, beliau ingin meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kempas dengan mengindahkan kawasan itu dan juga menyediakan serta menaik taraf sistem perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau menyatakan hasrat untuk membangunkan Kempas sebagai sebuah destinasi yang wajib disinggah orang ramai jika berada di Johor.
"Kempas tidak ada tempat pelancongan, tidak ada mercu tanda pun... jadi saya fikir jika dibangunkan suatu produk pelancongan di sini, orang datang ke Johor bolehlah singgah," katanya yang juga merasakan perkara itu akan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat.
Tabur bakti
Calon PKR Napsiah Khamis @ Maharan pula berkata Kempas merupakan tempat kelahirannya dan di situ juga tempat beliau menimba ilmu.
"Sayang dan kasihnya kepada Kempas itu lain bagi saya. Saya ingat pesan ayah saya iaitu di mana kita menimba ilmu, di situlah kita berbakti," katanya.
Napsiah yang merupakan Ketua Wanita PKR Johor berkata impiannya adalah untuk mewujudkan sebuah pusat perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak yang ditindas dan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan, selain melihat kepada masalah kekurangan pusat pendidikan awal kanak-kanak di situ.
"Penduduk kampung memilih untuk menghantar anak mereka ke tempat yang murah. Bila tiada tempat murah, untuk hantar ke tempat swasta itu mahal. Jadi, ada yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke tadika, inilah yang akan saya selesaikan," katanya.
Turut bertanding di DUN Kempas adalah Nur Faizal Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) selain tiga calon Bebas iaitu guru sekolah swasta Mohd Azwan Abd Rahman, bekas ketua kampung Mohd Hambali Munadi dan kontraktor Mohd Suhimi A Rahman.
-- BERNAMA
#PRN Johor #calon dun kempas #visi #penduduk kempas
;