PRN Johor: Kemenangan BN melebihi sasaran ditetapkan - Ismail Sabri

Astro Awani
Mac 13, 2022 15:44 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya kemenangan itu menandakan rakyat kini sudah boleh membuat perbandingan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR : Kemenangan Barisan Nasional (BN) di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, ramai yang memang menjangkakan BN boleh menang, tetapi dengan majoriti mudah atau 35 kerusi sahaja.
Beliau pada masa sama percaya kemenangan itu menandakan rakyat kini sudah boleh membuat perbandingan.
"Rakyat sebelum ini tidak boleh membuat perbandingan kerana negara diperintah BN selama 60 tahun dan rakyat pada waktu itu melihat kelemahan BN.
"Namun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat," katanya dalam satu entri terbaharu di laman sosial Facebooknya pada Ahad.
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2022
Ujarnya lagi, rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat.
"Disebabkan itu juga kita menang di Melaka. Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan," kata Ismail Sabri lagi.
Justeru katanya, rakyat Johor sudah membuat pilihan, dan semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka, lupakan pertandingan yang telah berlalu, seterusnya duduk bersama sebagai Keluarga Malaysia untuk bersama-sama membangunkan Johor.
#Barisan Nasional #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #pilihan raya
;