PRN Johor: Kecualikan guru-guru terlibat SPM jadi petugas - Radzi Jidin

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 18, 2022 16:57 MYT
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin menegaskan SPM kali ini adalah peperiksaan yang genting buat semua calon yang terlibat memandangkan pelajar sudah dua tahun tidak mengikuti pembelajaran secara bersemuka. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan sekali lagi memohon pertimbangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar guru-guru yang terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikecualikan dari menjadi petugas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin menegaskan SPM kali ini adalah peperiksaan yang genting buat semua calon yang terlibat memandangkan pelajar sudah dua tahun tidak mengikuti pembelajaran secara bersemuka.
"SPM kali ini perlu berjalan dengan cukup teratur dan sebab itu kita kata kita akan memohon sekali lagi kepada SPR supaya guru yang menjadi pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan dan juga pemarkah peperiksaan dikecualikan sebagai petugas PRN.
"Anak-anak yang ambil kali ini merupakan anak-anak yang paling terkesan. Kita kena ingat, anak-anak tak pergi sekolah dah dua tahun,” katanya kepada pemberita di Putrajaya petang tadi.
Jelasnya, KPM akan memastikan setiap proses dan sesi peperiksaan SPM kali ini akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang bentuk gangguan.
Katanya, ini termasuklah guru-guru melibatkan diri dalam PRN Johor yang dijadualkan akan berlangsung tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Radzi berkata KPM tidak dapat memastikan jumlah sebenar guru-guru yang dilantik menjadi petugas SPR dalam PRN Johor itu nanti.
#guru #SPM #PRN Johor #Johor Memilih #piluhan raya negeri #Radzi Jidin #KPM #Kementerian Pendidikan
;