PRN Johor: Jika Sungai Masai terus tercemar, apa nasib industri kupang di Pasir Gudang?

Firdaus Azil
Februari 11, 2022 03:36 MYT
Penduduk setempat berkata, Pasir Gudang sudah ditadbir tiga PBT, perkhidmatan sepatutnya setara dengan kutipan cukai ratusan juta ringgit. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Di Selat Tebrau Timur, kira-kira 3km dari Kampung Pasir Gudang Baru, Masai, terhamparnya lautan tong-tong biru seluas hampir 3 kilometer persegi, sehingga menyajikan permandangan unik untuk mereka yang pertama kali berkunjung ke lokasi itu.
Bukan sekadar tong kosong, tetapi di dalam setiap tong berkenaan, yang jumlahnya mencecah antara 25,000 hingga 30,000, terikat tali yang dibiarkan terendam ke dalam lautan, khusus untuk dijadikan tempat kupang membesar dan membiak.
Hasil kupang yang dijana, menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz, mampu mencapai antara RM10 juta hingga RM15 juta setahun.
“Bermula pada 90an hingga hari ini, ternakan kupang ini sudah dapat permintaan begitu tinggi. Pada peringkat awal tidak ramai pengusaha ternakan kupang, tetapi pihak persatuan cuba nak bawa masyarakat Orang Asli ternak kupang, supaya mereka ini dapat hasil pulangan baik.
“Walaupun bermula dengan skala kecil, tetapi bila hasil bertambah-tambah, hari ini hampir 70 orang Orang Asli terlibat, di samping itu kita ada tujuh jabatan kerajaan yang melabur dalam projek ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: Jangan halang ceramah bersemuka - Majlis Presiden PH
Cerita Sebalik Berita: PRN Johor | 12 Mac hari penentu, apa isu rakyat?
Namun, ada ancaman yang bakal menggugat hasil ternakan kupang terbesar di Malaysia itu, jika tiada sebarang tindakan proaktif dibuat, iaitu pencemaran yang terjadi secara berkala di Sungai Masai.
Pencemaran berkala di Sungai Masai
Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad memberitahu Astro AWANI, pada masa-masa tertentu, keadaan sungai menjadi kotor sehingga air menjadi hitam sepenuhnya, dipercayai akibat sisa kumbahan yang tidak diproses dengan betul oleh loji berdekatan.
Lebih mengecewakan, katanya lagi, mereka tidak diberitahu hasil siasatan pihak yang berkaitan, biarpun laporan sudah dibuat.
Apabila keadaan sungai berubah, jelas Daud lagi, nelayan terpaksa bergerak lebih jauh untuk menangkap ikan, sekali gus kos meningkat dari segi penggunaan minyak diesel dan sebagainya.
“Ada juga mereka tidak bertanggungjawab buang sisa di sungai berhampiran menyebabkan ia mengalir ke sungai ini.
“Perkara ini mendapat perhatian daripada kebanyakan agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar, tetapi hingga kini kita tidak dapat maklumat tentang apa-apa yang berlaku. Ini amat mengecewakan kerana mereka berjanji nak beri maklumat tapi tidak beri maklumat,” luahnya lagi.
Cukai tinggi, perkhidmatan perlu setara
Selain itu Daud berkata, kawasan Pasir Gudang ini sudah ditadbir oleh tiga generasi pihak berkuasa tempatan, termasuk bermula Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Johor Corporation (1977), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (2008), dan kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang (2020).
“Kita tidak mahu hanya pungutan cukai sahaja yang lebih baik, tapi dari segi perkhidmatan masih tidak memuaskan.
“Kita juga mohon mana-mana pihak yang ingin menjadi wakil rakyat di kawasan ini, untuk melihat masalah ini sebagai antara fokus mereka di masa akan datang,” katanya lagi.
Menurut Laporan Tahunan MBPG 2019, sehingga 31 Disember 2019, jumlah cukai taksiran yang dikutip ialah RM103.132 juta (85.6%) daripada jumlah RM120.47 juta.
Manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula, sebanyak RM18.925 juta (61.1%) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM30.97 juta.
Mengulas perkara yang sama, Azli berkata, agak mengecewakan jika pihak berkuasa tempatan dinaiktaraf secara berperingkat, namun masalah pencemaran yang berlaku di kawasan sungai itu berlarutan hampir 20 tahun lamanya.
Masalah pencemaran seperti itu, katanya lagi, membuatkan hasrat penduduk kampung untuk membangunkan sektor agropelancongan, terus terganggu.
“Bayangkan hampir 20 tahun hingga hari ini, masih belum ada jalan penyelesaian baik dari JAS, JPS, Majlis Bandaraya, jadi memang ada rasa kecewa.
“Jadi secara tak langsung, ia mengganggu hasrat penduduk nak buat sektor pelancongan. Kalau agropelancongan, tambah pendapatan penduduk, dan KUNITA, iaitu persatuan isteri nelayan, boleh buat produk makanan laut, apa lagi, kita ni mempunyai produk yang terbaik di Malaysia iaitu kupang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azli berkata, penduduk asal di Pasir Gudang, khususnya di Kampung Pasir Gudang Baru, berharap agar kampung mereka dikekalkan sebagai kampung tradisional, tetapi tidak disisihkan dari nikmat pembangunan.
Katanya lagi, majoriti penduduk yang mendiami sekitar 200 kediaman di kampung itu telah dua kali melalui penempatan semula sejak 70an, bagi memberi laluan kepada pembangunan Pasir Gudang.
“Kami ni penduduk asal. Kita minta sedikit hak keistimewaan penduduk asal, dan kesan pembangunan pun kita nak nikmati kesan tu. Kalau hari ni pindah, esok pindah tak akan ada penyudah.
“Kami dah lebih 20 tahun berkorban. Peniaga, warung, pasar nelayan. Tergugat dengan kesan pencemaran yang ada yang kami lihat berlaku tiap-tiap bulan,” luahnya lagi.
Apa komitmen Majlis Bandaraya Pasir Gudang?
Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datuk Amin Ahmad berkata, pihak bandaraya sentiasa mengambil berat tentang permasalahan yang berlaku di kawasan kampung tersebut, khususnya isu pencemaran Sungai Masai.
Jelasnya lagi, setiap kali ada aduan baik dari pihak persatuan nelayan mahupun penduduk kampung, perkara itu akan terus diajukan kedalam mesyuarat pengurusan MBPG.
“Kita bawa ke mesyuarat pengurusan MBPG, yang turut disertai pihak berwajib termasuk Jabatan Alam Sekitar, dan kepada merekalah kita akan tujukan supaya pantau mana punca, dan bagaimana permasalahan boleh berlaku di sini.
“Kita sedia maklum perkara di kampung ini dah berulang kali, dan Alhamdulillah, kita dapat cari kesan punca dari mana sampai ke hari ini dan kadang-kadang ada kilang tidak bertanggungjawab, melepaskan sisa yang tidak ikut diluluskan.
“Kita tahu keluhan di sini, terlalu ramai penduduk dan nelayan yang melibatkan diri dalam perusahaan kupang ni,” katanya lagi.
Untuk rekod, Parlimen Pasir Gudang mempunyai 195,480 pengundi, dan merupakan antara kawasan parlimen terpadat di Johor.
Ia mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu DUN N42 Johor Jaya (91,882 pengundi), dan DUN N43 Permas (103,598 pengundi).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (UMNO-Barisan Nasional) tewas di tangan Hassan Abdul Karim (PH-Parti Keadilan Rakyat), dengan majoriti 24,726 undi.
DUN Johor Jaya dimenangi Liow Cai Tung (PH-DAP) dengan majoriti 15,565 undi, menewaskan calon BN, Tan Cher Puk dan Kumutha Rahman (PAS).
Di DUN Permas, Mohamed Khaled sekali lagi tewas di tangan Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (PH-PKR) dengan majoriti 8,746 undi.
#Johor Memilih #Pasir Gudang #pencemaran Sungai Masai #ternakan Kupang