PRN Johor: Buka sempadan segera, benarkan rakyat Malaysia di Singapura balik mengundi - Hassan Abdul Karim
Firdaus Azil
Mac 8, 2022 11:59 MYT
Mac 8, 2022 11:59 MYT
JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura harus dilakukan segera sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang jatuh pada 12 Mac ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, langkah berkenaan akan membolehkan ribuan pekerja Malaysia yang berada di Singapura, dapat pulang mengundi.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang yang rakyatnya ramai bekerja di Singapura, saya mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan supaya membuka sempadan Johor-Singapura dengan segera sebelum 12 Mac.
“Langkah pembukaan sempadan itu akan membolehkan ribuan pekerja yang menjadi pengundi dapat pulang ke Johor untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka pada hari mengundi - 12 Mac 2022,” katanya lagi.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata, Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan membuka sempadan negara dalam masa terdekat.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, ketika ini negara sedang dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke beberapa negara tertentu, sebagai langkah berperingkat dalam membuka semula sempadan antarabangsa.
Rata-rata pemimpin parti politik selain Barisan Nasional berpandangan, PRN Johor bakal menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah, sekali gus menjejaskan potensi undi yang memihak kepada mereka.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai berkata, dianggarkan hampir 200,000 rakyat negeri ini yang menetap di Singapura layak mengundi secara pos dalam PRN Johor.
Hasni dilaporkan berkata, angka itu diperoleh daripada rekod pendaftaran di aplikasi ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif membabitkan pembekalan vaksin.
Katanya lagi, daripada 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dianggarkan hampir 200,000 adalah rakyat Johor yang layak mengundi pada PRN kali ini.
SPR sebelum ini meletakkan sasaran peratusan keluar mengundi sehingga 70 peratus.
Namun beberapa penganalisis politik berpendapat, peratusan kurang dari 65 peratus akan memberi kelebihan kepada BN untuk mendapat sokongan yang diperlukan bagi membentuk kerajaan Negeri yang baharu.